KUANTAN – Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menyambut baik keprihatinan kerajaan mengumumkan pelbagai inisiatif bagi mengatasi masalah pengangguran dan pembayaran gaji tidak setimpal dalam kalangan belia menerusi Belanjawan 2023 hari ini.
“Saya menyambut baik setiap inisiatif yang untuk rakyat terutamanya kepada golongan belia. Saya melihat belanjawan ini adalah satu langkah penting menuju masa depan yang mampan.
“Ini adalah pelan pemulihan ekonomi dan visi pembangunan yang menepati konsep MADANI,” tulisnya yang mesra sebagai Rara dalam laman Facebook hari ini.
Beliau turut memaklumkan akan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Belanjawan 2023 yang akan bermula Isnin depan.
“Fokus perbahasan saya adalah berkaitan dengan isu belia, kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan perumahan,” katanya.
Petang tadi, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 memberitahu kadar pengangguran belia 25 tahun ke bawah masih melebihi 10 peratus.
Beliau berkata, purata pendapatan belia juga rendah iaitu sekitar RM1,700 pada tahun 2021.
Antara inisiatif diumumkan kerajaan yang dilihat memberi manfaat kepada belia meliputi tawaran kredit e-Tunai Belia Rahmah dengan peruntukan keseluruhan RM400 juta.
Menurut Anwar, tawaran itu membabitkan pemberian sejumlah RM200 kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.
Selain itu, PERKESO menyediakan insentif kepada majikan yang menggaji 17,000 graduan khususnya TVET sebanyak RM600 sebulan selama tiga bulan sebagai tambahan kepada gaji yang ditawarkan dan membabitkan peruntukan keseluruhan RM45 juta.
Kerajaan juga akan menanggung bayaran latihan untuk pekerja gig menjalani program peningkatan kemahiran micro credentials sehingga RM4,000.
Tambah Anwar, PERKESO juga akan menyediakan elaun RM300 untuk tiga bulan sebagai menggantikan pendapatan pekerja gig yang aktif dan sedang menjalani program latihan dimana keseluruhan RM40 juta peruntukan disediakan bagi 30,000 pekerja gig. – MalaysiaGazette