KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghimpunkan para pemimpin  antarabangsa, pakar, peneraju industri, penggubal dasar dan komuniti berkaitan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mulai 24 Ogos depan bagi membincangkan cabaran peralihan tenaga.

Persidangan Peralihan Tenaga anjuran syarikat utiliti elektrik nasional itu menjadi platform utama Malaysia untuk merangsang penyelesaian dan kerjasama merentasi pelbagai sektor ekonomi dalam menangani peralihan tenaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, persidangan itu akan menampilkan cara inovatif bagaimana industri dan kumpulan masyarakat berbeza mempercepatkan peralihan tenaga yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, walaupun wacana awam biasanya menumpukan kepada peralihan sumber tenaga daripada bahan api fosil kepada sumber lebih hijau, peralihan tenaga sebenarnya melangkaui peralihan biasa sektor berkenaan.

“Analisis kami menunjukkan bahawa anjakan lebih besar dalam peralihan tenaga akan mempercepatkan manfaat alam sekitar untuk membantu Malaysia memenuhi komitmennya berkaitan perubahan iklim serentak mencergaskan semula ekonomi dan masyarakat melalui potensi pertumbuhan 5.6 peratus KDNK dan mengelakkan pelepasan karbon sebanyak 142 MtCO2e/tahun menjelang 2040.

“Setiap orang mempunyai peranan mengurangkan jejak karbon dalam kehidupan seharian masing-masing, daripada cara berulang-alik, menghasilkan produk menggunakan sumber
dengan cekap hinggalah kepada cara kita memupuk komuniti lestari untuk masa depan lebih hijau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharin menegaskan, Persidangan Peralihan Tenaga berpaksikan kepada peralihan dalam tiga kategori berbeza iaitu Tenaga, Pengangkutan dan Perbandaran.

Jelas beliau, topik-topik itu akan meliputi empat tema khusus yang terdiri daripada Tenaga Boleh Baharu (TBB), Penyahkarbonan, Pendigitalan dan Pemboleh Peralihan Tenaga merangkumi dasar, pasaran dan keupayaan.

“Peserta juga akan didedahkan teknologi dan penyelesaian mampan melalui pameran dan sesi padanan perniagaan. Melalui persidangan dan pameran ini, kami juga berhasrat untuk merangsang pasaran peralihan tenaga di pasaran tempatan dan serantau.

“Malah persidangan ini mendorong wacana strategik terhadap transformasi dasar, peraturandan insentif kewangan yang mengembangkan lagi agenda Peralihan Tenaga.

“Kami percaya bahawa para peserta boleh memanfaatkan platform ini bersama rakan kongsi teknologi strategik dalam mendayakan komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka dan menyumbang ke arah membantu Malaysia menjadi negara rendah karbon,” katanya.

Baharin menambah, TNB komited untuk memacu agenda peralihan tenaga negara melalui aspirasi pelepasan sifar bersihnya bagi menyokong Malaysia mencapai sasaran negara neutral karbon menjelang 2050.

“Dalam usaha mempercepatkan pacuan peralihan tenaganya yang bertanggungjawab, TNB meneruskan pelaburan besar Grid Masa Depan; mempercepatkan penyahkarbonan untuk meningkatkan nilai perusahaan portfolio penjanaannya melalui anak syarikatnya, TNB Genco; memperluaskan pasaran tumpuan TBB dan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast