Dua pelajar sekolah menengah disyaki memaki hamun menerusi video tular kerana tak puas hati soalan kertas Sejarah SPM ditahan di Hulu Selangor.

KUALA LUMPUR – Dua remaja lelaki disyaki pelajar sekolah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan mereka mengeluarkan kata kesat kerana tidak berpuas hati dengan soalan kertas sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah yang mengesahkan tangkapan itu berkata, penahanan ke atas dua remaja masing-masing berusia 18 tahun itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada guru wanita sekolah tersebut.

“Pihak polis sebelum ini menerima laporan daripada seorang guru wanita berkaitan video tular yang memaparkan suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat ekoran didakwa tidak berpuas hati dengan soalan subjek kertas Sejarah SPM itu.

“Bertindak atas aduan daripada guru wanita itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor pukul 9.30 malam tadi (Jumaat)  telah membuat serbuan mengejut di sebuah rumah di sekitar Hulu Selangor,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Tambah Suffian, hasil daripada serbuan, polis berjaya menahan dua suspek remaja berkenaan disyaki pelajar sekolah yang terlibat dalam rakaman video tersebut.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka, polis  merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone 11 yang dipercayai digunakan suspek untuk membuat rakaman video.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang diteruskan ke atas mereka di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Ketika ini mereka telah direman selama dua hari sehingga esok (Ahad) bagi membantu siasatan lanjut polis dan berkemungkinan kita akan bebaskan mereka dengan jamin polis sejurus selepas mengambil keterangan dalam kes ini.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam kes ini untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” tegasnya.

Pada Khamis lalu, sebuah klip video yang memaparkan seorang individu mengeluarkan kata-kata kesat selepas didakwa tidak berpuas hati dengan soalan dalam subjek Sejarah SPM telah tular di media sosial.

Selain pengamatan dalam video itu mendapati pelajar itu turut mengeluarkan kata-kata menghina sebuah negara dalam video tersebut.- MalaysiaGazette