Masjid Al-Aqsa
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Pertambahan dalam peruntukan Belanja Mengurus dan Belanja Pembangunan Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi 2023 akan terus dimanfaatkan ke arah usaha-usaha mempertahankan kepentingan strategik negara dalam isu-isu global.

Secara keseluruhannya, dalam Belanjawan 2023, KLN telah diperuntukkan sebanyak RM971,134,100 bagi tahun 2023 berbanding RM868,506,400 pada tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM809,613,800 diperuntukkan bagi Belanja Mengurus manakala sejumlah RM161,520,300 diperuntukkan bagi Belanja Pembangunan Tahun 2023.

Kedua-dua peruntukan ini mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 6.49% dan 49.28% berbanding peruntukan yang diluluskan pada tahun 2022, kata kenyataan yang sama.

Pertambahan dalam peruntukan Belanja Mengurus dan Belanja
Pembangunan Kementerian bagi tahun 2023 akan terus dimanfaatkan ke arah usaha-usaha memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam isu-isu global, antaranya keamanan sejagat, keterjaminan makanan, pembangunan mampan dan perubahan iklim, di samping mempromosi konsep Malaysia Madani di persada antarabangsa.

KLN akan turut memberi penekanan kepada usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara termasuk memudah cara pelaburan asing ke Malaysia dan pelaburan Malaysia ke luar negara. – MalaysiaGazette