zaid ibrahim pendakwaan terpilih
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan yang membuat beberapa ketetapan atau protokol antara kehakiman dan eksekutif disifatkan sebagai satu kesilapan besar.

Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berkata, keputusan sebulat suara tujuh panel hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung penyiasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi dan kini di Mahkamah Persekutuan, Datuk Mohd Nazlan Ghazali sebenarnya boleh mengundang krisis.

Beliau memberi gambaran yang keputusan tersebut seolah-olah menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada menjalankan tanggungjawabnya menyiasat hakim secara bebas.

Zaid yang juga bekas Menteri Undang-Undang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan bagi mengelak keputusan Mahkamah Persekutuan itu mencetuskan krisis dalam negara.

“Perdana Menteri kena bertindak jika tidak mahu krisis. Tidak ada mana-mana negara dalam dunia yang halang badan siasatan daripada menyiasat hakim jika adanya asas. Jika Perdana Menteri atau Raja Melayu boleh disiasat mengapa tidak hakim?” soalnya menurut laporan Berita Harian hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mendakwa tidak dimaklumkan terlebih dahulu tentang siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan dalam penghakimannya berkata, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman.

Katanya, antara protokol yang perlu dipatuhi ialah badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan; badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast