KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis sebelum membawa lari sebuah kereta mewah dari pusat jualan di Ampang akhirnya terbongkar.
Dalam kejadian di sebuah pusat jualan kenderaan di Jalan Ampang Hilir Off dekat di sini seorang lelaki yang menyamar sebagai polis berpura-pura memandu uji sebuah kereta baharu sebelum meloloskan diri bersama kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pada kejadian 15 Februari lalu, pengadu seorang jurujual lelaki tempatan berusia 26 tahun mendakwa semasa berada di tempat kejadian, dia didatangi seorang suspek lelaki yang menyamar sebagai pelanggan ingin memandu uji sebuah kenderaan jenis Honda Civic FK8 Type R berwarna hitam.
“Lelaki tersebut datang dengan menaiki sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna putih dengan dipandu oleh seorang lagi individu lain dan mendapati pelanggan tersebut memakai uniform lengkap seperti seorang anggota polis.
“Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, pelanggan tersebut memandu motokar untuk pandu uji manakala pengadu duduk di bahagian penumpang hadapan.
“Apabila sampai di Stesen Minyak di Pandan Jaya, pelanggan tersebut meminta pengadu belikan top up dan terus melarikan kereta baharu tersebut yang dianggarkan berharga RM270,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas laporan pengadu, pada 18 Februari dan 25 Februari lalu, sepasukan pihak polisĀ berjaya membuat beberapa siri tangkapan.
Polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga lelaki tempatan dan seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun dalam serbuan di kawasan Selayang, Selangor dan sekitar Alor Star dan Jitra di Kedah.
“Dua daripada suspek tidak bekerja manakala seorang suspek adalah pekerja bengkel dan seorang lagi adalah penjaja makanan.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, polis merampas sebuah kenderaan Myvi beserta kunci yang digunakan suspek semasa kejadian serta sebuah kerta Honda KH8 beserta kunci serta peralatan kenderaan yang dicuri.
“Pemeriksaan lanjut polis juga berjaya merampas sepasang Uniform Operasi Polis Diraja Malaysia serta peralatan lain, pelbagai resit, beberapa buah telefon bimbit selain beberapa peralatan lain untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurut Mohamad Farouk, modus operandi suspek ialah menyamar sebagai polis dan mencuri kenderaan dengan memandu ujinya sebelum mempedaya jurujualĀ sebelum melarikan kenderaan.
Mereka dikatakan mencuri kenderaan mewah untuk dijual.
Katanya, suspek kini telah ditahan reman selama empat hari sehingga 28 Februari ini untuk membantu siasatan lanjut polis.
Kes sedang disiasat bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda.
Kesemua suspek turut disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan iaitu menyamar penjawat awam jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda. – MalaysiaGazette