Mohamad Sabu (tengah) merasmikan Program Jelajah Agrotourism dan Agroyouth di Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan sedang menambah pekerja asing di sektor peladangan dan penternakan bagi menangani masalah bekalan telur dan ayam mentah menjelang Ramadan ini.

Ia susulan tindakan pemutihan yang dilaksanakan terhadap 200,000 pekerja asing dalam negara sejak Januari lalu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekerjasama itu dilakukan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Mohamad Sabu.

“Kita dapati selain daripada kekurangan makanan untuk ternakan seperti soya dan jagung, faktor kekurangan pekerja di sektor ini turut menjadi punca bekalan telur serta ayam terjejas.

“Susulan itu, kita telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha telur dan ayam untuk menambah pekerja di ladang yang memerlukan,” katanya yang dikenali Mat Sabu kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Mohamad merasmikan Program Jelajah Agrotourism dan Agroyouth di Padang Kota.

Mohamad Sabu (tengah) menyampaikan Geran Agropreneur Muda kepada salah seorang peserta.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFS, Datuk Lokman Hakim Ali dan Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang, Norlela Ariffin.

Tambah Mohamad, pihaknya memberi kelonggaran syarat pengambilan pekerja asing supaya menjadi ia menjadi pemudahcara terhadap peladang serta penternak.

“Antara pemudahcara termasuk membolehkan  peladang mengggajikan pekerja asing menerusi program pemutihan sekali gus mereka dapat bekerja secara sah di negara ini,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara akan sentiasa mencukupi meskipun harganya selalu mengalami kenaikan serta penurunan atas pelbagai faktor.

“Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) peringkat antarabangsa meletakkan Malaysia tahun lepas markah 100 ertinya kita tiada rakyat sampai tak ada makanan.

“Mungkin harga naik dan turun tapi makanan ada dan kita tak menerima bantuan antarabangsa dari sudut makanan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette