S.Darrshan

KUALA LUMPUR – Pemain muda tenis yang sedang meningkat naik, S. Darrshan berharap pencapaiannya dalam kejohanan remaja Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) baru-baru ini dapat membuka peluang dalam pemilihan ke Sukan SEA di Kemboja pada 5-17 Mei ini.

Selepas mara ke final perseorangan lelaki pada Kejohanan Remaja Jelajah Tenis Dunia ITF Singapura J30 awal bulan ini, Darrshan melangkah ke dua final dalam J30 Selangor minggu ini iaitu memenangi acara beregu dan muncul naib johan perseorangan.

Darrshan kini berharap untuk mempamerkan persembahan cemerlang dalam siri pertama Sirkit Kebangsaan yang bermula 8 Mac ini, bagi mencerahkan peluangnya ke Sukan SEA.

“Keputusan hari ini pastinya membantu kerana proses pemilihan melibatkan berapa banyak kejohanan yang disertai dan pencapaian kami.

“Saya teruja untuk berada pada peringkat Sukan SEA dan bertanding dengan pemain terbaik daripada setiap negara,” katanya kepada media hari ini.

Darrshan bergandingan dengan pemain Indonesia Aldhito Ramadhan Dwi Kurniawan, memenangi acara beregu selepas menewaskan Chen Xianfeng-Meng Fanming dari China 6-1, 6-0 dalam pusingan akhir di Gelanggang Tenis Kelana Jaya, semalam.

Pemain pilihan kelima kejohanan itu bagaimanapun tewas 3-6, 4-6 kepada Fanming dalam final perseorangan hari ini.

Darrshan yang mula bermain tenis sejak berusia tujuh tahun dijangka mengambil bahagian dalam Sarawak J300 bulan depan untuk melonjakkan rankingnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast