Idzham Mohd Hashim

KUALA LUMPUR – Iskandar Investment Berhad (IIB) menyambut baik langkah kerajaan Perpaduan dalam meneruskan usaha untuk menggalakkan tadbir urus yang baik, ketelusan, integriti, dan kecekapan, khususnya dalam perolehan projek.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Investment Berhad, Datuk Idzham Mohd Hashim berkata, Belanjawan 2023 yang dibentangkan memberi peluang untuk kejayaan masa depan dan memastikan kekuatan kewangan dan daya tahan yang berterusan untuk semua lapisan masyarakat.

”Iskandar Investment Berhad mengalukan Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana belanjawan ini mencerminkan prinsip tanggungjawab kerajaan berikutan cabaran ekonomi global semasa yang sarat dengan ketidaktentuan,” katanya.

Menurutnya, Belanjawan 2023 memberi petanda baik ke arah matlamat perniagaan IIB bagi unit perniagaan teras yang difokuskan, iaitu pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, pendidikan dan pembinaan ekosistem.

Selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu, salah satu inisiatif yang telah dinyatakan untuk merangsang pelaburan dalam sektor teknologi dan berimpak tinggi ialah pengumuman bahawa Invest Malaysia Council dan Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) akan menerajui usaha mempercepat kelulusan projek pelaburan berpotensi tinggi.

Selain itu, kerajaan juga komited untuk mengurangkan birokrasi termasuk memberi insentif kepada pihak berkuasa tempatan untuk memudahkan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepatkan.

Iskandar Puteri akan terus memanfaatkan strategi kerajaan untuk mengukuhkan pembangunan Iskandar Malaysia melalui penubuhan zon ekonomi khas dengan pakej insentif yang kompetitif untuk menarik pelabur antarabangsa.

”IIB telah memainkan peranannya dalam membangunkan Iskandar Puteri dengan menyediakan infrastruktur melalui penciptaan pekerjaan, peluang perniagaan untuk usahawan, pembangunan bakat, dan meningkatkan kualiti hidup di Iskandar Puteri.

”Sebagai sebahagian daripada usaha kami dalam menyokong pembangunan wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, Iskandar Puteri telah diletakkan sebagai destinasi pelaburan utama dengan mencipta dan menarik pelaburan nilai tambah untuk merangkumi lebih banyak pasaran baru muncul di Johor.

”Dengan keperluan untuk pendigitalan, IIB telah memangkin ekosistem perniagaan yang mampan di Iskandar Puteri dengan menjadikan Medini Iskandar lokasi yang sesuai untuk komuniti inovasi dan teknologi berkembang maju. Strategi dan inisiatif kerajaan bagi tahun ini adalah menyeluruh dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya.

Jelas Idzham, tumpuan kerajaan kepada pembangunan bakat sebagai faktor penarik kepada pelabur asing untuk melabur dan beroperasi di Malaysia melalui kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional dengan menyediakan peluang perantisan.

Ini adalah selaras dengan aspirasi IIB untuk memacu tahap tenaga kerja mahir di Negeri Johor. – MalaysiaGazette