Gambar hiasan

BULAN Syaaban merupakan antara bulan Islam yang mulia. Pada bulan ini umat islam berpeluang untuk merebut mendapatkan ganjaran pahala dan mengejar kebaikan bagi persediaan menghadapi Ramadhan. Amalan ibadah puasa dan melakukan amalan sunat menjadi kekuatan individu untuk membentengi diri daripada melakukan perbuatan maksiat dan mendidik diri untuk menjadi hambaNya yang beriman. Sungguhpun begitu, setiap individu juga perlu bijak merancang untuk menjalankan tanggungjawab yang dipikul dalam keluarga mahupun di tempat kerja.

Menginjak masuk ke bulan Syaaban, ia merupakan satu peluang yang tidak seharusnya dibiarkan berlalu begitu sahaja oleh umat Islam kerana bulan ini mempunyai keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. Sinonim dengan hadis ini yang menyatakan bahawa bulan syaaban merupakan bulan Rasulullah SAW. Hal ini dikuatkan dengan hadis yang diriwayat daripada Anas bin Malik RA yang menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban pula adalah bulanku (Rasulullah SAW) dan Ramadhan adalah bulan umatku”.

Sehubungan itu, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan berselawat ke atas junjungan baginda Nabi Muhammad SAW. Selain itu, amalan berpuasa sunat juga digalakkan untuk mempertingkatkan pahala malah dapat membantu diri dalam mempersiapkan diri untuk menyambut bulan puasa iaitu Ramadhan al Mubarak. Oleh itu, umat Islam perlu peka dan bijak menguruskan diri bagi memastikan azam untuk memperbanyakkan ibadah dapat dicapai.

Dalam memenuhi tanggungjawab sebagai hambaNya, umat Islam pasti berhadapan dengan pelbagai cubaan dan rintangan. Ia merupakan jalan yang harus dilalui sebagai hambaNya untuk mendapatkan tiket memasuki syurga. Dalam surah al baqarah (ayat 155) menyatakan bahawa: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar”.

Oleh itu, setiap manusia perlu kuat dan tabah menghadapi setiap ujian dalam menjadi hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam melakukan kebaikan. Malah setiap individu juga seharusnya disarankan untuk tidak mudah berputus asa dan terus mempertingkatkan ibadah dan banyakkan berdoa dalam mendidik diri untuk terus berpegung teguh pada Yang Esa. Hal ini ditekankan dalam surah yusuf (ayat 87) yang menyebut: “Dan janganlah kamu  berputus asa  dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus dari rahmat Allah melainkan orang orang yang kufur”.

Justeru, pengamalan nilai agama yang tinggi dapat membantu menjadikan seseorang individu itu kuat ketahanan fizikal, emosi dan rohaninya. Keseimbangan kesemua elemen ini membawa kepada kesejahteraan hidup yang membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sehubungan itu, dalam kesibukan menjalani rutin kehidupan seharian perlulah bijak membahagi masa untuk memperuntukkan masa melakukan solat sunat, ibadah puasa, mengaji, membaca tafsir al-Quran, solat berjemaah di surau atau masjid dan mengikuti majlis ilmu agama.

Tuntasnya, Syaaban yang datang perlu disambut dengan baik dan juga dijadikan platform persediaan menempuh bulan Ramadhan yang merupakan bulan mulia dan bulan mengaut pahala berlipat ganda. Hal ini membantu individu untuk tidak merasa rugi melepaskan peluang yang sedia ada dan mendidik diri untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa dan beriman.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast