Abdul Wahab Mohd Tahar

PEKAN –  Faktor usia bukan penghalang untuk warga emas menyertai aktiviti sukan air yang memerlukan kecergasan fizikal.

Buktinya, Abdul Wahab Mohd Tahar, 66 berjaya menyempurnakan aktiviti konvoi bot laju dari Temerloh ke Temai Hulu, dan berakhir di Jeti Riverfront, di sini hari ini.

“Daripada Temerloh mengambil masa hampir lima jam untuk ke Temai, Pekan dan ini merupakan program konvoi yang paling jauh saya sertai iaitu 248 kilometer,” katanya.

Beliau bertolak daripada Temerloh semalam dan bermalam di Temai sebelum meneruskan konvoi sejauh 30 kilometer lagi pagi tadi ke Riverfront, di sini.

Sebahagian peserta konvoi bot laju di Sungai Pahang hari ini.

“Empat kali juga berhenti di ‘checkpoint’ iaitu di Bera, Chenor, Pejing, Temai, Riverfront,” jelasnya.

Menceritakan pengalaman konvoi kali ini, Abdul Wahab berkata, bot yang dipandunya terbabas ke kawasan Sungai Pahang yang cetek dan ia merupakan pengalaman tak akan dilupakan.

“Tadi ada juga terbabas ke kawasan yang agak cetek. Sebab kita tak tahu laluan di sini. Tapi bot boleh bergerak lagi lah.

“Tapi paling mencabar hari ni, apabila kami sampai ke Kampung Paloh Hinai, di mana ada rintangan angin dengan arus tinggi.

“Kami tak pernah mengalami keadaan begitu. Jadi agak sukar. Tapi, kami dapat kawal bot dengan baik,” ceritanya ketika ditemui di sini.

Pesara guru itu memberitahu, tujuh anak lelakinya juga menyertai konvoi tersebut kerana berkongsi minat yang sama di dalam sukan air dan bot laju.

“Sukan air ni saya lihat semakin menarik minat golongan muda. Sambutan masyarakat juga semakin bertambah,”tambah Abdul Wahab.

Katanya, mereka melakukan persiapan rapi selama sebulan sebelum ini bagi memastikan kelancaran perjalanan.

Pelepasan Konvoi Bot Laju Sungai Pahang di Pekan disempurnakan Pegawai Perhubungn Awam Jabatan Penerangan Pahang, Saiful Azly Ramali kira-kira pukul 9.20 pagi tadi di Temai Hulu, di sini.

Kira-kira 250 buat bot peserta konvoi dari Maran, Jerantut, Bera dan Pekan kemudian tiba di Jeti Riverfront Pekan kira-kira sejam kemudian.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast