Ahmad Maslan hadir ke persidangan Dewan Rakyat.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangkakan penglibatan seramai 50,000 pembayar cukai baharu ke dalam program pengakuan secara sukarela yang laksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, bilangan itu akan melibatkan taksiran cukai berjumlah RM1 bilion.

Katanya, bilangan dan anggaran pendapatan itu berdasarkan pengenalan pemakaian Nombor Pengenalan Cukai (TIN) iaitu pendaftaran kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas.

“Program ini dilaksanakan dengan tujuan mengalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela dan mengambil peluang bagi melaporkan pendapatan masing-masing tanpa sebarang penalti.

“Belanjawan Madani yang diperkenalkan mengambil elemen mampan, sejahtera, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan mengajak warganegara Malaysia menjalankan tangungjawab sebagai pembayar cukai yang jujur, amanah dan telus,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Justeru Ahmad menggesa orang ramai supaya mengambil peluang terbaik itu dengan tampil mengemas kini status pematuhan cukai masing-masing.

Pembayar cukai juga disarankan tidak menunggu saat akhir untuk berbuat demikian bagi mengelak daripada terlepas peluang terbaik itu kerana aktiviti penguatkuasaan seperti audit dan siasatan akan berjalan seperti biasa.

“Saya ingin mengulangi bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri akan sentiasa membantu dan mengajar pembayar cukai agar terus cakna dan celik berkenaan tanggungjawab percukaian.

“Ini berbeza dengan persepsi sebelum ini di mana Lembaga Hasil Dalam Negeri dilihat memburu dan mengejar pembayar cukai.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri akan terus mengambil pendekatan menyediakan perkhidmatan percukaian yang profesional selari dengan hasrat menjadikan pematuhan cukai sukarela dan inisiotif yang dilaksanakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast