MELAKA – Seorang Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini selepas mengaku bersalah menjual arak tanpa lesen di sebuah kafe hiburan September tahun lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh M. Thiruselvan, 40, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah melanggar syarat lesen perniagaan dengan menjual minuman keras tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa melesen.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kafe hiburan Jalan Padang Balang, Taman Padang Balang, Batu Berendam, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira pukul 3.15 pagi 15 September 2022.
Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang mana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau maksimum dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, peguam tertuduh, Datuk Shashi Kannan dalam rayuannya memohon denda yang ringan kerana anak guamnya tidak tahu kesalahan dilakukan selain telah menyesal dengan perbuatannya itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana ini adalah kesalahan kali kedua dilakukan tertuduh di bawah seksyen sama yang pernah didenda RM2,000 sebelum ini.
Selain itu, katanya, kafe berkenaan adalah milik tertuduh kerana didaftarkan atas namanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, Majistret Sharda Shienha mengenakan denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette