KUALA LUMPUR – Satu mekanisme yang sesuai perlu dicari bagi membenarkan pengeluaran bersasar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dalam sesi perbahasan usul Belanjawan 2023 menegaskan, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran tersebut dibuat, namun ia perlulah menerusi kaedah tertentu supaya mereka yang benar-benar layak sahaja mengeluarkan wang simpanan persaraan itu.
“Ramai di luar sana tanya kenapa tiada langsung sesuatu yang diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, ada yang sudah enam bulan tidak bayar hutang rumah, bank sudah nak lelong.
“Kalau tidak dibantu orang seperti ini, rumahnya akan dilelong kemudian nak cari balik atau bermula semula amat susah. Oleh sebab itu hari ini saya nak minta sangat menteri fikirkan satu mekanisme, saya pun tak tahu apa formulanya.
“Tanyalah Pandan (Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli) beliau mungkin ada formula, cari satu cara, mungkin minta mereka tulis surat menunjukkan betul mereka benar-benar tidak boleh bayar rumah,” katanya.
Menurut Hamzah, kerajaan perlu menyelamatkan golongan berkenaan kerana mereka mungkin tidak dapat membeli semula aset pada masa akan datang jika ia dilelong akibat ketidakmampuan membayar ansuran pinjaman.
Kerajaan tidak seharusnya mengambil pendekatan ‘pukul keliling’ dan menghukum rakyat yang memerlukan dengan menggunakan alasan wang itu untuk kegunaan apabila bersara.
“Tunggu sudah pencen, baharu bantu, diapun nak mati sebab rumah tak ada, kehidupannya lebih sempit (ketika bersara) kerana rumah sudah kena lelong…dari golongan M40 masuk kepada B40.
“Fikirkanlah, di sini kami berjuang bagi memastikan KWSP secara bersasar diberikan,” katanya yang turut menyifatkan Belajawan 2023 sebagai ‘Bajet Selimut Senteng’, tutup muka betis terselak, tutup kaki muka terdedah’,” ujarnya. – MalaysiaGazette