KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menentukan hala tuju aplikasi MySejahtera sama ada diangkat sebagai alat pengurusan kesihatan awam atau pun tidak.
Ia susulan kontrak perolehan pengurusan aplikasi itu akan tamat pada 31 Mac ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, satu rundingan telah dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan syarikat pengurusan aplikasi berkenaan dan hasil perbincangan akan dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
Katanya, sebarang tambahan kos mengenai pengurusan aplikasi tersebut selepas kontrak berakhir juga turut akan ditentukan.
“Kerajaan menyasarkan untuk mengangkat aplikasi MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara di mana kita akan jadikan aplikasi ini sebagai satu data raya di hujung jari.
“Semua maklumat-maklumat berkenaan kesihatan akan digunakan untuk melihat hala tuju kesihatan daripada segi mendapatkan bajet dan juga menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan rakyat.
“Pembentangan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat dengan hala tuju adakah kerajaan akan mengangkat MySejahtera sebagai alat pengurusan kesihatan awam negara atau hala tuju lain.
“MySejahtera juga akan melibatkan kos dan kos ini akan kita tentukan selepas kontrak tamat pada 31 Mac 2023,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH – Bandar Kuching) yang meminta menteri KKM menyatakan berkenaan perincian hasil rundingan dengan Syarikat MySJSdn. Bhd. bagi membeli aplikasi MySejahtera serta pelan Kementerian untuk mengoptimasikan penggunaannya.
Menurut Lukanisman lagi, kesemua modul di bawah aplikasi MySejahtera adalah milik kerajaan dan hak milik aplikasi serta data yang meliputi hak harta intelek, kod sumber bagi modul-modul yang telah dibangunkan serta data, jenama dan logo ‘MySejahtera’ adalah milik kerajaan.
“Kerajaan mempunyai hak penuh ke atas penggunaan platform MySejahtera melalui Lesen Platform Kekal tanpa sebarang kos walaupun kontrak tidak dilanjutkan atau sekiranya kerajaan membuat keputusan melantik pihak lain untuk menguruskan aplikasi MySejahtera,” jelasnya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan berhubung jaminan ketirisan data MySejahtera, Lukanisman memberitahu, isu tiga juta data yang telah dimuat naik oleh akaun ‘Super Admin’ adalah langkah-langkah keselamatan yang dilakukan pihak MySejahtera.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut kerana ia masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette