Majlis Ulama UMNO
Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dusuki Ahmad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ulama UMNO di Menara DatoÕ Onn, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perbincangan berkaitan perpaduan ummah dalam mesyuarat pertama Majlis Ulama UMNO hari ini tidak menyentuh tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan Muafakat Nasional (MN).

Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad berkata, perpaduan ummah dibincangkan secara umum iaitu tentang perhubungan yang berkekalan dan mengukuhkan perpaduan antara ulama dan umara seperti yang pernah disebutkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan negara dan Islam, semua pihak tidak boleh lari daripada soal perpaduan serta mewujudkan kerjasama antara pemimpin politik dan ulama.

“Tak timbul benda ni (soal MN), ikut menjadi tanggungjawab sosial menyelesaikan masalah Islam dan umat dan masalah negara Islam.

“Selama ini dilihat golongan agama agak di pinggiran jadi sekarang kita bersama-sama untuk memperkukuh kerjasama dan penyatuan itu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Setiausaha Eksekutif, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

MN pernah menjadi platform kerjasama antara UMNO dan Pas dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Walau bagaimanapun, kerjasama tersebut tidak berkekalan apabila Pas memilih untuk terus bersama Perikatan Nasional (PN) di mana menyebabkan berlaku pertembungan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PRN Johor dan PRU15.

Dusuki menambah, secara amnya, matlamat utama penubuhan Majlis Ulama UMNO sendiri adalah mewujudkan perpaduan ummah.

Sementara itu, beliau memberitahu, Majlis Ulama UMNO akan mengadakan pelbagai program seperti halaqah dari semasa ke semasa di peringkat akar umbi dan kebangsaan.

“Mungkin muzakarah yang dihadiri oleh ahli-ahli kita di semua peringkat di cawangan, bahagian dan negeri,” jelasnya. – MalaysiaGazette