PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya yang memperuntukkan RM10 juta untuk mencetak dan mengedar dua juta naskhah al-Quran terjemahan ke seluruh dunia.
Beliau berkata, peruntukan itu tidak terlalu besar jika dibandingkan dengan manfaatnya bukan sahaja masyarakat dunia bahkan rakyat Malaysia sendiri bakal menikmatinya.
“Tidak, apa yang banyaknya terjemahan al-Quran, bukan sahaja untuk Bahasa Sweden sebab ia cuma 20,000 naskhah tapi untuk fahaman lain juga (bahasa).
“Ia hanya RM2 juta sahaja, bermula dengan kecil malah beri manfaat kepada rakyat Malaysia juga.
“Saya kata edar ke semua tempat sebab kita kadang baca, nak galakkan baca terjemahan, baca tafsir supaya kita faham dengan lebih mendalam
“Ini tradisi akliyah, tradisi ilmu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Malaysia Madani mendepani Cabaran Islamfobia di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Anwar berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM10 juta bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran dalam bahasa Sweden serta bahasa asing utama dunia.
Menurutnya, peruntukan itu akan disumbangkan kepada Yayasan Restu yang akan mengetuai usaha tersebut.
Dalam pada itu, Anwar menegur segelintir pihak yang menentang Islam namun dalam masa sama enggan membaca terjemah al-Quran untuk memahami Islam.
“Masalahnya sekarang pemahaman mengapa yang menentang Islam, dia tak nak baca.
“Yang lawan balik pun dia kira semua orang tak betul, itu masalah dia, semua orang yang tidak setuju dengan dia semua liberal, sekular, barat.
“Jadi kita kena baca balik teks, terjemahan, baca tafsir, rupanya boleh selamatkan sementara mengangkat penghayatan Islam ini,” katanya. – MalaysiaGazette