Abdul Rahim Tamby Chik

MELAKA – Sistem pendidikan negara yang kini 70 peratus berteraskan akademik perlu diubah kepada berorientasikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT) dan keusahawanan bagi lebih menjamin masa depan pelajar.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Tan Sri Dr Abdul Rahim Tamby Chik berkata, dasar pendidikan ke arah TVET yang dilaksanakan hari ini juga disifatkan masih lemah dan tidak mencukupi untuk mengurangkan kadar pengangguran belia.

Menurutnya, satu langkah pelaksanaan TVET secara bersepadu perlu segera dilaksanakan demi menyelamatkan masa depan belia sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing.

“Sebagai Pengerusi GABEM, saya lihat apa berlaku bila sistem pendidikan negara yang 70 peratus berorientasikan akademik ini, bila pelajar keluar (universiti), tak dapat kerja kerajaan, anak-anak muda ini jadi mat rempit pun tak apa.

“Sebab itu, kerajaan kena ada polisi untuk tukar bidang akademik ini kepada 70 peratus TVET dan keusahawanan jadi bila keluar belia dah tahu berdikari, baiki penyaman udara, kereta sikit-sikit tak perlu sangat bergantung pada peluang kerja kerajaan.

“Sekarang ini pun kadar pengangguran kita dah hampir satu juta orang sebab peluang kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka ini masih tak mencukupi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pelaksanaan dasar pendidikan ke arah TVET yang giat dilaksanakan kerajaan hari ini masih mempunyai kekurangan kerana dilakukan mengikut agensi.

“Saya lihat TVET dalam bidang pendidikan hari ini masih tak cukup lagi sebab ianya dibuat secara individu iaitu Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan cara mereka begitu juga agensi yang lain.

“Tak boleh macam itu dan perlu ada pendekatan bersepadu walaupun boleh dibuat oleh agensi-agensi namun perlu di bawah satu arahan. Mesti ada satu pihak berkuasa yang jaga untuk semua agensi ikut perkara yang sama,” katanya.

Tambahnya, kegagalan mempunyai sebuah badan induk untuk mengawal selia TVET akan menjadikan masalah sama berlaku apabila keperluan pendidikan tidak selari dengsan keperluan industri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast