Hamzah Zainudin
Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Perbahasan mengenai Belanjawan 2023 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terganggu beberapa kali ekoran rasa tidak puas hati daripada ahli-ahli Parlimen daripada blok kerajaan.

Semua itu berlaku susulan intipati ucapan Hamzah (PN-Larut) dikatakan ‘kosong’ meskipun, sudah bermula lebih 18 minit lalu.

Ahli Parlimen, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangun dari tempat duduknya sambil membangkitkan perkara tersebut.

“Saya ada ekspetasi yang tinggi terhadap Larut. Tetapi apa yang saya dengar 17 hingga 18 minit ucapan Larut tidak ‘straight to the point’. Kerana tak ada isi, hanya sembang kencang.

“Saya harapkan pembangkang boleh bangkitkan belanjawan bayangan, tetapi setakat ini pembangkang tak buat kerja.

“Kalau nak jadi pembangkang yang membina, bawalah belanjawan bayangan…sekarang tak ada,” katanya.

Bagaimanapun, celahan itu diselar oleh Hamzah dengan menyifatkan ia sebagai mukadimah yang wajar.

“Itu baru mukadimah…mukadimah pun dah naik angin. Ini apa ni? Ini Kerajaan Perpaduan macam mana?

“Saya baru nak masuk tentang pasaran ekonomi baharu, tak sempat-sempat..yang dia takut sangat ni apa pasal? Dia belum tahu pun apa yang saya nak sampaikan.

“Yang saya nak sampaikan adalah kami di sini adalah sesuatu kumpulan yang nak lihat semak dan imbang apa yang disampaikan kerajaan.

“Jadi, kalau YB Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh baca bermacam-macam ayat al-Quran dengan menggunakan segala filosofinya, eh…apa salahnya juga pembangkang melalui saya bermula dengan pendahuluan seperti ini? Yang kau sibuk kenapa?,” soalnya.

Terdahulu, dalam ucapannya Hamzah menyifatkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat lepas seperti sehelai selimut yang senteng.

Ujarnya, peruntukan yang dibentangkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan kelihatan tidak menyeluruh selain tidak menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat.

“Apabila saya mendengar ucapan Tambun (Anwar), saya agak simpati kerana dalam keadaan ekonomi negara yang agak runsing pada hari ini, begitu juga dengan ekonomi dunia, saya merasakan mungkin ini yang menyebabkan ucapan YB pada hari itu adalah sesuatu yang saya anggap seperti bajet selimut yang senteng.

“Maksudnya kalau kita tutup muka, betis terselak, kalau tutup kaki, muka terdedah.

“Ertinya, banyak perkara dalam belanjawan tersebut yang kurang dari segi pendekatan dalam menentukan masa depan kita kerana sepatutnya belanjawan ini boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi dalam negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, belanjawan negara sepatutnya memberi peluang pekerjaan kepada rakyat terutama kepada golongan anak muda selain, perlu meringankan beban rakyat dalam menangani kos sara hidup.

“Seharusnya belanjawan diberi atau diagihkan secara saksama kepada semua.

“Bukankah matlamat utama sesetengah perancangan itu untuk memberi nilai tambah dan limpahan yang berganda bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi dan daya saing negara,” tambahnya.

Pada Jumaat lepas, Anwar mengumumkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion dalam Belanjawan 2023 dengan RM289.1 bilion adalah belanja mengurus, RM99 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka. – MalaysiaGazette