KUANTAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen memohon Majlis Perbandaran Bentong (MPB) menyelesaikan isu kerosakan pada bangunan di Pasar Bentong.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Speaker Pahang berkata, perkara tersebut perlu diselesaikan dengan kadar segera kerana bimbang kerosakannya boleh mengancam keselamatan pengunjung dan peniaga.
Menurutnya pihaknya juga telah menghubungi Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri, Datuk Seri Johari Harun berkaitan dengan isu berkenaan.
Bagaimanapun MPB telah memaklumkan pihaknya masih menunggu peruntukan untuk membaiki pulih pasar terbabit.
“Semalam (Isnin) saya telah menghubungi Johari berkaitan dengan isu ini dan mengundangnya untuk melihat sendiri keadaan semasa pasar di sini.
“Beliau (Johari) telah memberikan jaminan untuk meneliti perkara ini. Namun saya tegas bahawa isu ini perlu diselesaikan segera. Saya menyeru tindakan segera daripada MPB berkaitan dengan isu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasar Bentong merupakan salah satu tempat tumpuan penduduk di Bentong dan juga pengunjung dari luar.
Terdahulu akhbar berbahasa Cina melaporkan pada 24 Februari lalu berhubung reaksi pengunjung dan peniaga di pasar terbabit selepas mendapat beberapa kerosakan pada bangunan pasar yang boleh menjelaskan keselamatan pengunjung. – MalaysiaGazette