KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengadakan libat urus untuk mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepentingan sebelum memutuskan sama ada memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971, mengekalkan atau melaksanakan penambahbaikan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan juga perlu mengambil kira aspek perundangan sedia ada sebelum membuat keputusan berkenaan perkara berkenaan.
“Bila kita berbincang berkaitan dasar dan perundangan sedia memang kita perlu pertimbangkan banyak perkara. Sudah pasti apa yang dicadangkan itu (pemansuhan AUKU) akan kita bawa melalui proses biasa dan mendapat input daripada semua pihak berkepentingan adakah ianya perlu direview (dikaji), direappeal atau ditambah baik bergantung apa juga finding yang akan dilaksanakan melalui engagement dengan pelbagai pihak,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).
Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Makhota (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN) dalam soalan tambahannya bertanyakan status AUKU.
Saifuddin berkata, ini kerana Menteri Pendidikan Tinggi, Khaled Nordin memberikan jawatan berbeza dengan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.
“Dalam manifesto PH, AUKU nak dimansuhkan tetapi sahabat saya menteri KPT menjawab sedikit berbeza ini ‘low hanging fruit’ yang senangnya seharusnya dipinda dengnan segera sebab kerja-kerja menggantikan akta sekarang ini sudah dimulakan sebelum ini adakah akan dimansuhkan atau bagaimana?” soal beliau.
Khaled baru-baru ini berkata, kerajaan tidak bercadang memansuhkan AUKU kerana menyifatkan akta berkenaan masih relevan terutamanya melibatkan urus tadbir universiti.-MalaysiaGazette