Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan mengenai projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang dilibatkan dengan menantunya sengaja ditimbulkan untuk menjatuhkan maruahnya dan keluarga.

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam masa yang sama berkata, dakwaan tersebut merupakan fitnah dan tuduhan berat yang tidak betul.

Beliau berkata demikian apabila Dewan Rakyat kecoh beberapa minit selepas Khoo Poay Tiong (PH- Kota Melaka) memulakan perbahasan Belanjawan 2023 dengan menyentuh isu berkenaan.

“Saya duduk bersabar mendengar tuduhan yang dibuat Kota Melaka. Itu tuduhan. Saya nak jelaskan yang di-Pertua pada hari saya berucap, Jelutong bangkit dan Ipoh Timur bangkitkan bahawa menantu saya namanya Muhamad Adlan Berhan telah dapat kontrak Sistem Imigresen yang disatukan sewaktu mana YB Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) menjadi Menteri Dalam Negeri.

“Tapi tuduhan itu tuduhan fitnah, pembohongan, tidak betul satu tuduhan berat. Nak menjatuhkan maruah saya dan maruah keluarga saya ini satu yang berat hanya kerana YB (Kota Melaka, baca surat khabar.

“Surat khabar sekarang macam-macam cara, sangkaan buruk, fake news (berita palsu) kalau nak tanya saya saya nak beritahu di sini bahawa itu tidak benar,” katanya.

Jelas Muhyiddin, syarikat yang dipilih menerusi tender terbuka bukanlah syarikat milik menantunya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencabar Poay Tiong membuat tuduhan berkenaan di luar Dewan Rakyat bagi memudahkan proses perundangan diambil.

“Keputusan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih penender secara tender terbuka bukan syarikat milik anak menantu saya. Ini peluang untuk saya jelaskan kalau nak tuduh di luar saya akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Terdahulu, Hamzah yang turut mencela menggesa supaya Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng mengarahkan supaya Poay Tiong menarik balik kenyataannya yang dianggap sangkaan jahat kepada ahli dewan.

Kemudian Alice mengarahkan Poay Tiong menjelaskan kenyataannya berserta bukti tarikh laporan berita seperti yang didakwanya.

Bagaimanapun, Poay Tiong enggan menjelaskannya sebaliknya berkata, akan mengemukakan bukti-bukti laporan berita pada masa akan datang.

Datuk Awang Hasim (PN- Pendang) turut bangkit menggesa supaya Poay Tiong menarik balik kenyataannya.

Selepas beberapa minit kemudian, barulah Ahli Parlimen Kota Melaka itu menarik balik kenyataannya selepas diarahkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Saya tarik balik apa yang saya sebut tadi dan saya rephrase perkataan saya “bahawa semua baca surat khabar, surat khabar tidak fitnah seperti yang disebut Pagoh surat khabar menyatakan ada seseorang anak menantu kepada seseorang mendapat projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional dan kita semua tahu seseorang itu siapa kalau tidak sebelah sana tidak perlu berdiri nak ganggu kita,” katanya.

Sementara itu, Hamzah pula berkata, lelaki yang dinamakan sebagai anak menantu kepada Pagoh dan dikaitkan dengan projek berkenaan telah membuat laporan polis berkenaan dakwaan tersebut.

Sehubungan itu, tidak wajar untuk terus mengaitkan isu berkenaan dengan Ahli Parlimen Pagoh.

“Kalau nak tarik balik tak mengapa. Isunya di sini bahawa anak menantu itu sendiri sudah buat laporan polis menyatakan itu merupakan satu fitnah kepada bapanya sendiri.

“Jadi tidak payah bawa isu seperti ini. Kalau nak cerita, cerita pasal lain. Kita terima hakikat anak menantu sudah buat laporan polis apa lagi kita nak mencari kaedah seolah-olah pembangkang adalah satu kumpulan yang sama dengan rakan-rakan mereka yang ada di sana,” ujarnya.-MalaysiaGazette