PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak bagi menangani isu yang membelenggu golongan penggiat muzik rakaman lebih 35 tahun lalu.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, isu bayaran dan pengiraan royalti serta hak cipta antara keutamaan jawatankuasa itu yang bakal memulakan mesyuarat pertama antara industri seni itu bersama KPDN dalam masa terdekat.
“Kimmy Khir akan mengetuai pengkarya dan saya arahkan dia untuk memilih lima wakil industri yang menganggotai badan itu termasuk pencipta lagu dan lirik, syarikat rakaman, pelaku rakaman.
“Isu lama pengiraan royalti nampak tidak adil, ada diskriminasi, kita nak elak mana-mana menuding jari antara satu sama lain.
“Jawatankuasa ini bakal mencari jalan penyelesaian agar isu berbangkit dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri Townhall Pengkarya di bawah inisiatif Daya Kreatif KPDN dan mengadakan dialog hampir tiga jam bersama 80 penggiat muzik rakaman tempatan.
Tambahnya, Salahuddin tidak menolak kemungkinan untuk meminda Akta berkaitan atau mewujudkan Akta baharu bagi menyelesaikan isu golongan penggiat musik rakaman itu.
“Kita bincang semua isu Pengkarya dan saya nampak ada Akta perlu dipinda atau Akta baharu, kita tengok dulu apa isu sebenar.
“Mungkin KPDN perlu belajar bagaimana syarikat industri muzik menguruskan harta intelek, pengiraan dan mekanisme bayaran royalti.
“Kalau ada tekad politik Insya-Allah boleh dilakukan. Kita ambil enam bulan tengok dulu jawtankuasa ini boleh bagi solusi,” katanya.
Sementara itu, Aktivis Musik dan Komposer, Kimmy Khir atau nama sebenarnya Nafisah Mohamat Yusof Khir berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa bertindak itu akan diadakan sebelum Ramadan ini.
“Selain pencipta lagu dan lirik, syarikat rakaman, pelaku rakaman, saya juga akan melibatkan ahli akademik dan pensyarah universiti dalam jawatankuasa ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette