Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) tidak menerima sebarang layanan atau faedah istimewa sejak beroperasi di negara ini.

Lynas dalam kenyataan hari ini memaklumkan faedah yang ditawarkan kepada syarikat berkenaan apabila melabur di Malaysia adalah sama dengan faedah yang ditawarkan kepada pelabur lain.

“Malaysia memberikan Taraf Perintis bagi menarik pelabur asing dalam projek berkepentingan nasional. Kesemua projek ini melibatkan pelaburan modal besar, teknologi baharu serta jentera dan peralatan khusus.

“Insentif cukai seperti ini merupakan amalan biasa di negara di seluruh dunia. Tempoh insentif cukai bergantung kepada saiz pelaburan. Lynas dipelawa ke Malaysia sebagai pelabur langsung asing dan layak diberikan Taraf Perintis,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan dikeluarkan susulan status Taraf Perintis Lynas yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pada 23 Feb lepas.

Menurut Lynas, ketika diberi pengecualian cukai ke atas pengeluaran nadir bumi di bawah insentif Taraf Perintis, syarikat itu membayar cukai seperti mana-mana syarikat lain atas perkara yang tidak berkaitan dengan nadir bumi.

Pada 23 Feb lepas media melaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat berkata tiada satu sen cukai korporat dibayar oleh Lynas memandangkan syarikat itu diberi status pengecualian cukai oleh kerajaan selama 12 tahun.

Menurut Lynas, syarikat berkenaan telah melabur RM3 bilion untuk loji dan peralatan di Malaysia serta membelanjakan RM730 juta setiap tahun di Malaysia, selain menyumbang kepada penciptaan 4,600 pekerjaan tempatan langsung dan tidak langsung.

“Lynas hanya mahu dilayan secara adil dan saksama sejajar dengan syarikat lain di Malaysia,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA