Bangunan Hospital Sungai Buloh, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 12 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan mutu perkhidmatan kesihatan di hospital-hospital kerajaan semakin meningkat, menyebabkan lebih ramai memilih untuk mendapatkan rawatan di fasiliti berkenaan.

Dalam masa yang sama katanya, kos rawatan yang lebih murah berbanding di hospital swasta menjadikan hospital kerajaan menjadi pilihan.

Bagaimanapun, Fadillah berkata, kesesakan di hospital kerajaan seperti yang dilaporkan sejak kebelakangan ini turut menggambarkan taraf kesihatan rakyat dalam negara.

Sehubungan itu katanya, pelbagai pihak termasuk wakil rakyat perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada rakyat.

“Pokok pangkalnya mengapa hospital masih sesak? Mungkin mutu perkhidmatan kita bertambah baik tapi pada masa yang sama memberi gambaran adakah kita di Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat sebab itu lebih ramai dirujuk kepada doktor untuk mendapatkan rawatan, sakit dan sebagainya

“Oleh itu penekanan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) adalah untuk membawa atau memperomosikan budaya hidup sihat. Di sinilah peranan semua Ahli Parlimen jalankan program supaya promosikan budaya hidup sihat supaya tidak perlu ke hospital lagi, hanya yang sakit kritikal sahaja ke hospital dan hospital tidak terbeban dengan kes-kes kesihatan .

“Akhirnya merugikan negara dari segi kedudukan negara dari segi kedudukan kewangan dan merugikan rakyat kita sendiri,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew (GPS).

Oscar bertanyakan langkah kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara berikutan berlakunya kesesakan di beberapa hospital-hospital kerajaan.

Beliau berkata, KKM sentiasa menambah baik perkhidmatan sedia ada dengan kerjasama dan libat urus dengan pelbagai pihak khususnya menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR).

“Beberapa siri perbincangan sedang dijalankan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Jabatan Perkhidmatan Awam bersama-sama dengan pihak pengamal perubatan swasta, untuk bincang apa yang boleh ditambah baik dalam jangka masa panjang, atau pendek,” ujar Fadillah. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. atau rakyat makin sakit sekarang ini. Terlalu banyak produk-produk kesihatan di internet yang di mendapat kelulusan KKM. Bukan kah ini merbahayakan pengguna. Harap kementerian dapat pantau perkara ini.

  2. rakyat makin miskin ..private hospital mahal, insuran pun tak lepas. Terpaksa bersabar tunggu berjam-jam di hospital kerajaan

Comments are closed.