Dr Haidar Dziyauddin

KUALA LUMPUR – Penghakiman Ketua Hakim Negara yang mahu siasatan ke atas badan kehakiman mengikut protokol masih tidak mengubah doktrin pengasingan kuasa dalam Perlembagaan Persekutuan yang terdiri daripada eksekutif, Parlimen dan kehakiman.

Justeru, semua pihak terbabit perlu menghormati penyeimbangan kuasa dan pelaksanaan kuasa masing-masing.

Ini bermakna, setiap institusi tidak boleh sewenang-wenangnya untuk campur tangan dalam mana-mana cabang kerana ia boleh menganggu sistem itu sendiri, kata pakar perundangan, Prof Dr Haidar Dziyauddin.

Beliau tidak menafikan kenyataan Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa siasatan terhadap hakim perlu mengikut protokol menjadi polemik masyarakat kerana ia memberi gambaran ‘orang luar’ tidak boleh menyiasat isu salah laku membabitkan badan kehakiman.

Ia juga menunjukkan seolah-olah institusi kehakiman itu cuba dilindungi, justeru sebarang siasatan oleh pihak luar perlu dirujuk terlebih dahulu.

Namun, katanya, protokol itu hanya terpakai jika ia melibatkan kod etika hakim tetapi bukan bagi undang-undang jenayah.

“Kalau ia melibatkan kod etika kehakiman, yang mana sebagai ‘ketua jabatan’ perkara itu perlu dirujuk kepada Ketua Hakim Negara.

“Tetapi jika ia membabitkan jenayah, tiada sesiapa pun yang terlepas daripada siasatan, apatah lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebuah badan bebas,” katanya kepada MalaysiaGazette

Beliau berkata demikian mengulas penghakiman Ketua Hakim Negara bersama panel tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan, yang memutuskan SPRM dan badan siasatan lain berhak secara Perlembagaan untuk menjalankan siasatan dan pendakwa raya mempunyai kuasa memulakan prosiding jenayah terhadap hakim mahkamah atasan.

Bagaimanapun, siasatan itu mesti dilakukan mengikut protokol tertentu bagi memelihara kebebasan badan kehakiman, antaranya badan siasatan mesti terlebih dahulu berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan terhadap hakim berkenaan.

Selain itu, badan siasatan tidak boleh menghebahkan fakta siasatan tanpa kebenaran ketua hakim negara dan pendakwa raya mesti berunding dengan ketua hakim negara ketika siasatan, termasuk dalam keputusannya untuk melakukan pendakwaan.

Tengku Maimun berkata demikian dalam penghakiman melalui permohonan dua peguam dan seorang aktivis untuk merujuk dua persoalan Perlembagaan berkaitan siasatan SPRM terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang sebelum ini merupakan Hakim Mahkamah Tinggi.

Jelas Haidar lagi, semua pihak termasuk hakim tidak diberi pengecualian dan boleh dituduh mengikut kesalahan diperuntukkan dalam Kanun Tatacara Jenayah dan Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan hakim, ahli eksekutif serta ahli badan perundangan perlu menjalani proses sama seperti orang lain.

Malah kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara membenarkan pendakwaan dimulakan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan di Malaysia termasuk Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti diperuntukkan dalam Perkara 181(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas mengenai perkara tersebut, beliau berkata, walaupun Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan perkara yang menyentuh tatatertib dan etika anggota badan kehakiman tetapi ia tidak memberi pengecualian daripada pemakaian Kanun Tatacara Jenayah, Akta SPRM dan kesalahan lain dan kuasa Peguam Negara selaku pendakwa raya mengikut Perkara 145.

“Sama ada seorang hakim itu disabit melakukan kesalahan di bawah Kanun Tatacara Jenayah, Akta SPRM dan lain-lain statut, proses itu perlu diadili seperti mana-mana orang berdasarkan prinsip sama rata di sisi undang-undang,” katanya.

Haidar menjelaskan, undang-undang yang menyentuh tatatertib penjawat awam dan kakitangan badan berkanun serta etika hakim bertujuan mengadili kes yang hukumannya melibatkan etika perkhidmatan masing-masing, tertakluk kepada kaedah dan peruntukan tertentu.

Contohnya, tindakan penggantungan dan pembuangan kerja serta isu-isu berkaitan pangkat, imbuhan dan gaji.

Jelas Haidar lagi, semua pihak harus berfikiran terbuka dalam hal ini kerana jika Raja-Raja Melayu juga tertakluk pada Perkara 182 dan 183, maka orang awam juga tidak terkecuali.

“Hakim, ahli eksekutif dan ahli badan perundangan tidak diberikan pengecualian dalam Perkara 8, oleh itu semua perlu melalui proses yang sama,” katanya. – MalaysiaGazette