KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuat permohonan terbuka di Dewan Rakyat berhubung dakwaannya sebelum ini bahawa titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15, disediakan kerajaan.
Ahli Parlimen Kubang Kerian (PN) itu berkata, beliau memohon maaf sekiranya timbul kekhilafan terhadap dakwaannya semasa membahas usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada minggu lalu.
Dalam masa yang sama Tuan Ibrahim berharap agar isu berkenaan tidak dipanjangkan sebaliknya Dewan Rakyat membincangkan isu yang lebih penting.
“Saya sudah memberi penjelasan berhubung kekhilafan berlaku dengan Speaker. Saya fikir ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu penting.
“Saya fikir sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan kita terus kepada agenda lebih penting untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Tuan Ibrahim sebelum ini selepas Ahli Parlimen Jelutong (PH) membangkitkan Peraturan Dewan 36 (6) berkaitan sangkaan jahat bahawa titah Yang di-Pertuan Agong disediakan kerajaan.
Pada minggu lalu, Dewan Rakyat kecoh apabila Tuan Ibrahim berkata, titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 disediakan kerajaan dan dibawa ke Kabinet sebelum diluluskan.
Katanya, perkara berkenaan diketahuinya kerana pernah menganggotai Kabinet sebelum ini. – MalaysiaGazette