KUANTAN – Enam remaja dipercayai anggota Geng Aimal yang aktif melakukan jenayah memecah masuk kedai telefon di Kuala Lipis ditahan polis dalam serbuan Op Pintu pada 23 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan kes pecah kedai telefon di sekitar kawasan Kampung Baru Jerkoh, Benta yang melibatkan kerugian berjumlah RM10,000 pada 17 Februari lalu.
“Pihak polis merampas lapan buah telefon bimbit pelbagai jenis, kad sim bersama satu set kepala pengecas dan kabel warna putih, satu helai kertas catitan tertulis, satu helai resit belian bertarikh 17 Februari 2023 berjumlah RM120.
“Dengan tertumpasnya suspek-suspek ini, pihak polis berjaya menyelesaikan satu kes pecah kedai telefon yang melibatkan anggaran kerugian sebanyak RM10,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Azli modus operandi suspek yang berumur antara 15 hingga 17 tahun itu mensasarkan kedai telefon tepi jalan dan jenayah itu dilakukan antara jam 2 pagi hingga 6 pagi.
Katanya, kes disiasat d ibawah seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah kedai yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat. – MalaysiaGazette