Abu Bakar Katain

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka menggerakkan lebih 500 pegawai dan anggota ke 124 lokasi berisiko banjir di seluruh negeri susulan hujan berterusan sejak malam tadi.

Pengarahnya, Abu Bakar Katain berkata, selain itu pihaknya juga memantau rapi 130 kawasan cerun di negeri ini yang boleh mengakibatkan runtuhan membahayakan penduduk dan pengguna jalan raya.

“Kalau kita lihat keadaan sekarang ini pun hujan masih berterusan dan saya pun dah minta pegawai dan anggota di balai membuat rondaan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti berisiko banjir.

“Keseluruhannya, di Melaka kita ada 124 kawasan yang kita anggap berisiko tinggi untuk banjir malah kawasan tanah cerun juga kita akan pantau kerana mungkin akan membahayakan penduduk jika berlaku runtuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2023 di BBPM Bukit Katil, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, daripada 130 kawasan cerun yang dipantau, dua kawasan paling berisiko berlaku runtuhan terutamanya ketika musim hujan.

“Selain itu, kita juga sedang memantau kemungkinan berlakunya fenomena air pasang besar yang boleh mengakibatkan banjir lebih buruk jika hujan masih berterusan,” katanya.

Pada majlis itu, JBPM Melaka turut menerima tiga buah bot sumbangan Majlis Daerah Jasin dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk mempertingkatkan lagi keupayaan agensi itu melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR). – MalaysiaGazette.