Abu Bakar (empat dari kanan) turut menerima tiga buah bot sumbangan Majlis Daerah Jasin dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) untuk melancarkan lagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) agensi itu. - MalaysiaGazette.

MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menegur sikap segelintir penduduk taman perumahan di Melaka yang suka menghias rumah mereka sehingga menutupi kemudahan pili bomba yang hanya akan merisikokan keselamatan mereka jika berlaku kecemasan.

Pengarah JBPM Melaka, Abu Bakar Katain berkata, kesalahan itu adalah antara yang sering dilakukan daripada 40 kompaun dikeluarkan terhadap individu yang didapati menghalang atau mengganggu kedudukan pili bomba sepanjang tahun lalu.

“Ini antara kesalahan paling jelas dilakukan apabila pili bomba di hadapan rumah dikelilingi pasu bunga sehingga kita tak nampak kedudukannya.

“Ada juga yang sampai tahap disimenkan sebahagian pili bomba itu sebab hendak jadikan kawasan itu sebagai garaj kereta sedangkan kedua-dua perbuatan ini boleh menjejaskan operasi menyelamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri Melaka 2023, di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, hari ini.

Abu Bakar Katain

Mengulas lanjut beliau berkata, antara kawasan yang sering dikesan berlakunya halangan terhadap pili bomba ini adalah sekitar pusat bandar dan Ayer Keroh.

“Semua pili bomba ini tidak sepatutnya berada dalam keadaan terlindung sebaliknya sentiasa dijaga supaya boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Tahun lepas, kita dah keluarkan 40 kompauan atas kesalahan mengganggu pili bomba mengikut Akta Perkhidmatan Bomba 1988, termasuk 10 daripadanya di bawa ke mahkamah kerana gagal menjelaskan kompaun,” katanya.

Abu Bakar berkata, bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat pentingnya kesiapsiagaan pili bomba, seramai 1,300 Teman Pili Bomba di seluruh Melaka dilantik bagi menjaga serta menyelia pili bomba.

“Bagaimanapun, jumlah ini perlu dipertingkatkan lagi kerana kita mempunyai kira-kira 17,000 pili bomba seluruh Melaka yang memerlukan komitmen lebih besar untuk membantu menjaga kemudahan ini,” katanya. – MalaysiaGazette.