Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi di dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB), malah kedudukannya dalam syarikat itu bertujuan mewakili kerajaan negeri.

“Saya ingin tegaskan saya mewakili kerajaan negeri untuk memastikan kepentingan kerajaan negeri tidak terganggu dan tidak terkurang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Perikatan Nasional (PN) Selangor hari ini mengenai penganugerahan kontrak bernilai RM700 juta oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada LLBĀ  bagi projek SMG.

Amirudin berkata, LLB adalah milik penuh kerajaan negeri merangkumi 45 peratus milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan 55 peratus milik Berjaya Land yang telah diputuskan bagi mengetuai projek Selangor Maritime Gateway (SMG) pada tahun 2018.

“Pada Oktober 2022, Landasan Lumayan membentangkan cadangan pendalaman Sungai Klang sebagai sebahagian daripada projek SMG dan menangani banjir dengan anggaran kos RM700 juta hasil penelitian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, Lembaga Urus Air Selangor dan perunding yang dilantik.

“Kos projek ini dibiayai oleh Landasan Lumayan melalui pengecualian premium tanah (RM117 juta), tanggungan hutang RM54 juta dan selebihnya melalui penerokaan pembiayaan oleh MBI. Projek ini tidak melibatkan sebarang suntikan tunai daripada kerajaan negeri seperti didakwa,” katanya.

Amirudin juga menjelaskan kedudukan beliau dan Exco Selangor Izham Hashim dalam Lembaga Pengarah LLB juga seharusnya tidak menimbulkan sebarang isu berikutan peranannya adalah bagi mewakili kepentingan MBI dan kerajaan negeri.

“Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada PN yang menghantar ‘peluru kapur’ untuk menyerang kerajaan negeri, boleh cuba lagi pada masa depan.

Terdahulu, PN Selangor menggesa pihak berkuasa itu menyiasat sebarang pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

Gesaan itu dibuat susulan tularnya dakwaan di media sosial mengenai Amirudin yang menyalahguna kuasa beliau dengan menggunakan kedudukan sebagai menteri besar bagi menganugerahkan projek itu kepada syarikat berkenaan. – Bernama