Orang ramai berkumpul di jambatan lama bandar Segamat yang menjadi daerah terburuk di Johor terjejas banjir apabila menyaksikan seramai 7,272 orang daripada 2,050 keluarga yang ditempatkan di 55 PPS daripada keseluruhan 25,213 penduduk terjejas di 10 daerah. - Gambar hiasan

SEGAMAT – Segamat menyaksikan daerah paling teruk terjejas banjir kali ini selepas mengalami hujan berterusan.

Beberapa penduduk ketika ditemui berkata, banjir sejak Selasa lalu telah menjejaskan lebih banyak kawasan berbanding banjir besar pada 2006, 2011, 2013 dan 2017, sekali gus disifatkan yang terburuk.

Penduduk Mohd Khairil Abdul Razak, 40, berkata, dia tidak sangka, hujan selama dua hari sejak malam Isnin mengakibatkan air Sungai Segamat naik begitu mendadak sehingga melimpah ke Jalan Muar- Segamat menyebabkan penduduk terkandas.

Mohd Khairil Abdul Razak

“Mula-mula saya ingatkan banjir akan cepat surut seperti banjir-banjir sebelum ini, tapi tak sangka pula air sungai naik mendadak dalam dua tiga jam air naik sampai paras dua hingga tiga kaki.

“Saya boleh katakan inilah banjir terburuk berbanding empat kali banjir besar pada 2006, 2011, 2013 dan 2017 yang lalu apabila banyak jalan terputus hubungan, malah bandar Segamat pun dah tunggang langgang,” kata ketika ditemui di sini hari ini.

Samingin Wahid

Seorang lagi penduduk, Samingin Wahid, 64, berkata, banjir terburuk kali ini menyebabkan dia terpaksa tidur selama dua malam di masjid sekitar Segamat sejak Selasa lalu apabila jalan ke rumahnya di Felda Selancar terputus hubungan.

“Memang sebelum ini kawasan ini pernah banjir, tapi tidaklah seburuk ini sampaikan jalan ke Felda Selancang dan Labis pun boleh terus terputus hubungan.

“Mujurlah kawasan rumah agak tinggi cuma saya bimbang jika isteri dan cucu terputus bekalan makanan,” katanya.

Mohd Eirzad Norizan

Seorang lagi penduduk, Mohd Eirzad Norizan, 37, berkata, dia terpaksa bermalam di pejabatnya malam tadi selepas terputus hubungan untuk pulang ke rumahnya di Bandar IOI Segamat yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar.

“Semalam, saya keluar pejabat pukul 4 petang dan sebaik sampai di jambatan lama Segamat, ia sudah tidak boleh dilalui kenderaan kecil menyebabkan terpaksa berpatah balik dan bermalam di pejabat kerana tiada tanda-tanda banjir akan surut,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di bandar Segamat mendapati, beberapa kenderaan agensi penyelamat sedang sibuk membantu penduduk yang terjejas selain orang ramai turut merakamkan situasi banjir berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 25,213 penduduk terjejas melibatkan 10 daerah.

“Angka ini meningkat berbanding 24,230 penduduk pada pukul 5 pagi tadi yang ditempatkan di semua 187 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.

“Daripada 10 daerah terjejas, Segamat merekodkan jumlah mangsa terbanyak iaitu seramai 7,272 orang daripada 2,050 keluarga yang ditempatkan di 55 PPS,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast