LIPIS – Seorang warga emas dan anaknya dicekup kerana mencuri mesin pengorek Op Lejang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Moh Noor berkata, serbuan dilakukan pada 27 Februari jam 5.30 petang di sebuah bengkel tidak bernombor bersebelahan rumah di Tanah Putih Jalan Gua Musang-Merapoh, Gua Musang, Kelantan.
“Pihak polis menerima kes kecurian jentera berat (backhoe) jenis case 580k mark 3 warna kuning di sekitar kawasan Aur Gading Kuala Lipis yang mana melibatkan kerugian kira-kira RM35,000 pada 21 Februari lalu.
“Satu pasukan khas yang telah ditubuhkan dalam Op Lejang telah menjalankan risikan dan mendapatkan maklumat berkaitan kes curi jentera berat yang dilaporkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kedua-dua berusia 65 dan 25 tahun.
Menurutnya, modus operandi penjenayah mensasarkan jentera berat yang diletakkan ditepi jalan utama serta mengambilnya waktu awal pagi sekitar jam 1 pagi hingga 6 pagi.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri jentera berat yang boleh membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Polis masih memburu seorang lagi suspek.
Suspek pertama bagi kes curi jentera berat mempunyai empat kes rekod jenayah lampau membabitkan dua kes Seksyen 30 (3) Akta Racun, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, manakala suspek lain tiada mempunyai rekod jenayah lampau.
Azli berkata, polis sedang mengesan Muhamad Nazrul Ibrahim dan dikenali dengan nama panggilan Mat Yo yang beralamat di Kesedar Renok Baru,Gua Musang.
Orang ramai dialu-alukan untuk membantu pihak polis bagi menyalurkan maklumat berkaitan suspek yang masih bebas boleh menghubungi ASP Amirul Syazwan di talian 010-5322048. – MalaysiaGazette