KUALA LUMPUR – Pelakon utama filem Anwar, The Untold Story, Farid Kamil menzahirkan rasa syukur apabila proses pengambaran filem terbabit sejak tahun 2021 berjalan lancar.
Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42, yang memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dia bertuah kerana diberi tanggungjawab besar untuk memegang watak sebagai individu berpengaruh di dalam dan luar negara.
“Saya sempat berjumpa beliau (Anwar) dua, tiga kali sebelum Parlimen dibubarkan, beliau banyak membantu saya untuk memahami situasi yang sebenar apa yang ditulis di dalam skrip,” katanya ketika pada majlis pelancaran filem itu, di ibu negara.
Filem Anwar, The Untold Story berkisarkan ranjau politik yang dilalui Perdana Menteri dan dijangka menemui penonton secara rasmi di pawagam seluruh negara pada Mei ini.
Penerbit Eksekutif, Zukiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar, berkata filem itu digarap berdasarkan kisah benar yang menjadi sebahagian hidup Anwar ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1991 hingga dipecat pada 1998.
Filem yang mendapat sentuhan pengarah Indonesia Viva West itu turut dibintangi oleh Hasnul Rahmat yang membawa watak Tun Dr Mahathir Mohamad dan dibantu oleh pelakon Indonesia Acha Septriasa sebagai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, Farid berkata, dia mengambil masa selama sebulan untuk mempelajari cara mengangkat tangan seperti yang dilakukan Anwar ketika ditahan pada 1998.
Ujarnya, persiapan itu dilakukan sebaik mungkin sebelum dia berangkat ke Jakarta, Indonesia untuk penggambaran.
“Sebelum berangkat ke Jakarta, saya hanya berlatih bagaimana kedudukan tangan Anwar dan lebih kurang satu bulan berlatih untuk mengangkat tangan seperti yang kita tengok di dalam poster tersebut.
“Setiap pergerakan yang dilakukan ketika itu adalah persoalan yang bermain di fikiran setiap rakyat Malaysia pada tahun 1998? Kenapa mata bekas Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) lebam? Apakah di sebalik kejadian dan benarkah berlaku kejadian seumpamanya?”ujarnya.
Ditanya mengenai momen yang paling indah bagi bagi filem ini ialah Anwar dipilih sebagai Perdana Menteri ke-10 sebaik sahaja filem ini siap.
”Akhirnya doa saya dan jutaan rakyat Malaysia lain termakbul untuk melihatnya,” katanya. – MalaysiaGazette