GEORGE TOWN – Gandingan siapa bersama Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula dalam parti bukanlah menjadi percaturan untuk pemilihan jawatan nombor satu sayap Wanita UMNO kali ini.

Bagaimanapun, penyandang Naib Ketua Wanita, Datuk Norliza Abdul Rahim berpandangan, beliau wajar berganding dengan bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu selepas ‘pihak sebelah’ menyuarakan sokongan terhadap Datuk Seri Noraini Ahmad.

Jelas Norliza, beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama atau digandingkan dengan mana-mana individu yang memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO demi kelangsungan parti.

“Gandingan itu bukannya saingan mengikut kem memandangkan saya merupakan orang parti yang taat kepada pimpinan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sebaliknya, pendirian saya sangat jelas mengikut presiden parti yang mana hanya kem UMNO dan Barisan Nasional (BN) saja, tiada kem lain.

“Malah, bagi saya pertandingan antara bekas ketua wanita UMNO (Shahrizat) serta penyandangnya (Noraini) adalah pertandingan keluarga serta bukti demokrasi dalam parti,”katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Norliza, mereka yang bertanding mengistiharkan kem siapa atau adu domba merupakan pihak lemah serta tidak mempunyai daya kepimpinan kuat untuk membawa wanita sebagai tulang belakang parti.

Jelasnya, tidak dinafikan pelbagai strategi akan digunakan semua calon yang bertanding bagi meraih sokongan serta keyakinan perwakilan.

“Setahu saya, tiada kenyataan rasmi daripada Shahrizat mahupun Noraini berkenaan gandingan dalam pemilihan ini tetapi sekiranya dibuat pihak lain bagi saya, ia tidak perlu difikirkan.

“Saya tak pasti dari mana datangnya label kapal itu, kapal ini termasuk dikaitkan dengan restu pihak tertentu sedangkan ia dinafikan sekeras-kerasnya oleh presiden sendiri.

“Bukan saja itu, tiada istilah lawan tunjuk siapa kuat atau saingan peribadi dalam UMNO malah pertandingan saya sendiri berteraskan perjuangan ikhlas demi mengarusperdanakan wanita semampu mungkin,” kata Norliza.

Untuk rekod, Shahrizat memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 2008 dan mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya pada pemilihan parti 2018 ekoran mahu memberi laluan kepada muka baharu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast