SHAH ALAM – Polis berjaya merungkai misteri penemuan mayat dikerat enam yang dibuang di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran persimpangan Rawang Selatan pada 17 Januari lalu, dengan tertangkapnya 15 suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, daripada soal siasat itu, enam suspek warga Nepal telah ditahan lanjut sehingga polis mendapat petunjuk mengenai identiti mangsa.
Katanya, mangsa yang berusia 48 tahun ditemukan tanpa kepala dengan sebahagian anggota badannya dimasukkan dalam sebuah beg sebelum dibuang di tepi jalan Lebuh Raya PLUS.
“Mangsa yang tinggal serumah dengan suspek juga adalah warga Nepal dan motif pembunuhan disebabkan dendam.
“Mereka adalah rakan kerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan. Mereka menyewa di sebuah apartmen dan kejadian bunuh itu berlaku di bilik stor apartment berkenaan.
“Mereka kerat mayat itu, isi dalam satu beg, tunggang motosikal dan buang ditempat yang ditemui,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Pada 17 Januari lalu, satu mayat yang dipotong enam bahagian ditemukan di tepi jalan Kilometer 447, Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran persimpangan Rawang Selatan.
Sebahagian keratan tubuh mangsa disumbatkan ke dalam beg bagasi, manakala separuh bahagian badan ditemui di tepi jalan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 11.45 pagi.
Menurut Hussein, kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan yang diperolehi, tiga daripada mereka dituduh membunuh dan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Kata beliau, daripada 15 suspek yang ditahan itu, 13 adalah warga Nepal, manakala dua lagi warga Indonesia
“Berdasarkan siasatan, suspek yang berumur 24 hingga 30 tahun mengakui pernah dipukul dan didera oleh si mati,” katanya. – MalaysiaGazette