KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka Dasar Industri Kreatif Negara serta menubuhkan sebuah majlis khusus untuk seni dan muzik dalam usaha untuk menjaga kebajikan artis dan pemain industri di negara ini.
Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkata, bagi mereka dalam industri budaya kreatif yang merangkumi seni, tarian, muzik, teater, filem dan acara, kemampanan dan kemakmuran tidak akan dicapai melalui pemberian wang tunai,.
Jelas beliau, kaedah yang lebih baik perlu difikirkan untuk menyelaraskan sistem pelesenan tempatan, yuran hiburan dan rangka kerja undang-undang lain untuk mengurangkan tekanan tidak wajar yang dikenakan ke atas artis tempatan dan membantu memperkasakan mereka.
“Keharusan budaya kreatif mungkin pada mulanya muncul sebagai teras lembut atau persisian konsep Malaysia MADANI.
“Bagaimanapun, memandangkan Malaysia adalah masyarakat yang pelbagai budaya dan sedar budaya, melalui pintu inilah mana-mana masa depan yang mampan mesti dilalui terutamanya kerana rangka kerja MADANI.
“Ia bagi mengiktiraf kepentingan kemampanan, kemakmuran dan inovasi dalam membina masa depan yang berdaya tahan untuk rakyat,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM250 juta untuk sektor pelancongan, manakala RM102 juta diperuntukkan untuk Dana Kandungan Digital yang bertujuan membantu dan mempromosikan karya baharu dalam industri kreatif.
Selain itu, sebanyak RM25 juta diperuntukan untuk aktiviti warisan dan kebudayaan di peringkat masyarakat, dan RM20 juta untuk program kesenian dan kebudayaan di sekolah yang menggalakkan perpaduan.
Syerleena memberitahu, seni dan budaya Malaysia sememangnya boleh menjadi tarikan hebat untuk pelancong dari seluruh dunia.
Ujar beliau, dengan mempamerkan warisan budaya negara, Malaysia boleh menarik pengunjung yang berminat untuk mempelajari sejarah, adat resam dan tradisinya.
Katanya, ini seterusnya dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Untuk menggalakkan pembelajaran dan eksport budaya, adalah penting untuk mempunyai repositori nasional aset budaya kita dalam bentuk digital.
“Sudah tiba masanya kita mengiktiraf hubungan simbiotik antara pelancongan dan sektor seni dan budaya kreatif dan melihat bagaimana ia benar-benar memberi kesan kepada ekonomi tempatan.
“Untuk memahami perkara ini dengan lebih baik, data dan statistik yang lebih komprehensif diperlukan untuk mencapai keputusan dan penyelesaian yang lebih termaklum,” katanya. – MalaysiaGazette