KUALA LUMPUR – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA masih releven dilaksanakan di negara ini, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, SOSMA amat penting bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih memerlukan undang-undang berkenaan agar tindakan segera boleh diambil untuk mengelakkan sebarang kegentaran awam dan ancaman kepada kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Saifuddin berkata demikan menjawab pertanyaan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu adakah kerajaan akan mansuhkan SOSMA atau tambah baik peruntukan sedia ada dan sehingga kini berapa ramai tahanan SOSMA yang sedang menanti untuk dibicarakan.
Jelas Saifuddi, SOSMA 2012 merupakan undang-undang berbentuk prosedur yang digunakan untuk kesalahan-kesalahan keselamatan spesifik dan ada diperincikan dalam Jadual Pertama SOSMA 2012.
Walaupun begitu, katanya, KDN komited untuk menambahbaik undang-undang tersebut bagi memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Bagaimanapun, ia harus diimbangi dengan hak masyarakat serta kepentingan dan ketenteraman negara.
“Dalam melaksanakan penambahbaikan terhadap undang-undang tersebut, pihak kementerian telah mengadakan perbincangan dan bengkel dalaman untuk melihat cadangan penambahbaikan.
“Pihak berkepentingan termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, pakar akademik, komuniti dan sebagainya akan dilibatkan dalam sesi pengumpulan maklum balas terhadap cadangan penambahbaikan tersebut,” katanya.
Untuk rekod, sehingga 30 Januari 2023, bilangan tahanan SOSMA 2012 yang sedang dalam perbicaraan adalah seramai 46 bagi kes penyeludupan/pemerdagangan manusia, dua bagi kes elemen keganasan.
Manakala seramai 147 orang lagi dituduh di bawah Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan.
Bagi tahun lalu, PDRM telah membuat tangkapan seramai 624 orang di bawah SOSMA.
Daripada jumlah tersebut seramai 71 tangkapan telah dituduh di mahkamah, telah dijatuhkan hukuman seramai 401 orang, 140 telah dibebaskan dan 12 orang masih dalam siasatan.
Pecahan bangsa terdiri daripada 247 orang Melayu, Cina 83, India 89, 47 Lain-lain Kaum dan warganegara asing seramai 158 orang. – MalaysiaGazette