GEORGE TOWN – Kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang, yang gagal menghalang usul pengosongan kerusi yang disandang, tetap akan hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini.
ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, mereka sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan, termasuk jika diminta meninggalkan bangunan DUN, sekiranya usul berkenaan diluluskan.
“Kami akan hadir bagi mempertahankan kedudukan kami ketika perbahasan usul itu, khususnya berkenaan kelompangan yang terdapat dalam Perkara 14A, Fasa 1 Perlembagaan Pulau Pinang. Akta itu tidak memberi kuasa kepada Speaker bagi membolehkan sesebuah kerusi dikosongkan, selain definisi tindakan melompat parti yang tidak jelas.
“Apa yang dilakukan kerajaan negeri ialah mereka mahu merampas mandat yang sudah ditentukan rakyat, menerusi usul mengosongkan kerusi DUN dan mereka sesuka hati mahu menentukan siapa yang sepatutnya berada di dewan (DUN), sedangkan yang memilih kami adalah rakyat (pengundi),” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Tiga lagi Adun yang berkenaan ialah Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.
Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini, akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa dan perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.
Ia susulan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah Enakmen Anti Lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan. – Bernama