KOTA TINGGI – Dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang bakal dilaksanakan di Kota Tinggi perlu disegerakan agar masalah banjir yang kerap berlaku di daerah ini dapat diatasi.
Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua projek itu menelan belanja bernilai RM700 juta dari Kerajaan Persekutuan manakala satu sudah selesai ditenderkan.
Tambah beliau, satu lagi projek sedang dalam proses untuk ditenderkan dan ia perlu dimulakan segera.
“Kedua-dua projek tebatan banjir yang besar itu diumumkan oleh Perdana Menteri melibatkan kos lebih kurang RM700 juta,” katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Mawai, di sini, hari ini.
Sementara itu, Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi memberitahu, kementerianyan sudah mengenal pasti penuntut institut pengajian tinggi yang terkandas akibat banjir dan perkara itu telah dimaklumkan kepada universiti terlibat. – MalaysiaGazette