Dua saspek dan salah seorang geng O8 dicekup di kawasan semak selepas menyamun pemandu teksi lewat 70-an.

KOTA TINGGI – Salah seorang ahli kongsi gelap “Geng 08” dan rakannya dicekup bersama selepas melakukan samun ke atas seorang pemandu teksi warga emas berhampiran Tokong Thai San Kong di Pengerang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Hussin Zamora berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an berjaya ditahan berhampiran semak berdekatan dengan barangan yang disamun mereka.

“Dalam kejadian itu mangsa telah membawa dua penumpang warga tempatan dari Gelang Patah menuju ke Pengerang, Johor.

“Semasa tiba di tepi jalan berhampiran Tokong Thai San Kong suspek bertindak mengacukan senjata tajam di belakang pinggang mangsa.

“Suspek telah mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga dan kemudian melarikan diri ke kawasan dalam semak berdekatan,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.05 petang itu,  dua telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM400 dan seutas jam tangan jenama Casio yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM800 telah dilarikan.

“Dalam tempoh tidak lebih daripada empat selepas kejadian, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi telah berjaya melakukan tangkapan ke atas dua orang suspek ini,” tambah Hussin.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan kedua-dua suspek mendapati terdapat tatoo berbentuk labah-labah dan lipan pada bahagian dada kiri serta lengan kanan salah seorang saspek dan disyaki merupakan ahli kumpulan kongsi gelap Geng 08.

Ujian saringan air kencing ke atas kedua suspek juga mendapati kedua-duanya negatif daripada penyalahgunaan dadah.

Namun, semakan rekod lampau ke atas kedua saspek mendapati masing-masing  pernah terlibat dengan jenayah dan dadah serta salah seorang suspek masih dikehendaki dalam dua kes jenayah yang dilaporkan di Serendah pada tahun 2022 dan Rawang, Selangor pada tahun 2010.

Kedua-dua saspek direman di Mahkamah Majistret Kota Tinggi pada hari ini selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette