KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Ibrahim Ali terkejut kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin memperlekehkan penyertaan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam parti Putra.
Presiden Putra itu menyifatkan kenyataan Hashim itu sebagai sombong, angkuh dan otak kayu apabila menghina Putra sebegitu rupa.
“Mungkin dia anggap Pas sudah kuat berbanding 45 tahun lalu, sedangkan Putra baharu berusia empat tahun dengan dua tahun terbantut akibat pandemik Covid-19.
“Saya nak ingatkan Hashim, Dr. Mahathir memilih Putra kerana parti ini dilihat bersih, bermoral dan berintegriti berbanding Pas sebuah parti pimpinan para hipokrit dan munafik.
“Walaupun Putra parti baharu dan masih kecil, namun kita tidak sekali-kali menjual atau menggunakan agama sebagai modal politik murahan. Putra adalah parti yang lurus dan jujur, bukan parti auta, putar belit dan tunggang agama,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Hashim yang menganggap bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu memilih tempat bergantung yang reput apabila menyertai Putra.
Kata beliau, pilihan bekas Perdana Menteri itu tidak tepat kerana masih terdapat parti lain yang lebih kukuh dalam memperjuangkan kepentingan Melayu, agama Islam, raja-raja dan perlembagaan.
Kata Ibrahim, beliau memang terkejut dengan kenyataan itu, yang dibuat oleh pemimpin Pas yang tidak berilmu dan tidak memahami asas demokrasi serta hak bersuara tanpa berfikir secara betul.
“Pada Hashim, masuk Pas saja betul, menjadi ahli Pas dan undi Pas sahaja boleh masuk syurga, walaupun Pas – parti ajaran sesat, meminjam kata-kata Pengerusi Pakatan Harapan (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia sebenarnya tidak wajar mempersoalkan ketajaman pemikiran Dr. Mahathir sebagai seorang intelektual, berilmu, tokoh pemikir dan sarat dengan pengalaman dalam membuat keputusan politik hala tuju perjuangannya memilih Putra.
“Siapa Hashim hendak mempersoalkan keputusan Dr. Mahathir? Apa pengalaman dan jasa dia kepada ummah selama ini?,” soalnya.
Ibrahim turut menyifatkan Mursyidul Am Pas itu umpama burung hantu yang bercakap retorik dengan kenyataan untuk mempertahankan Pas semata-mata, sama ada betul atau tidak, lain kira.
Bahkan, ujarnya, Majlis Syura Ulamak Pas sendiri tidak mampu menegakkan keadilan untuk bekas Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali yang dipecat oleh parti itu dan kini dilantik Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO.
“Tidak malukah Hashim sebagai Mursyidul Am Pas bahawa Majlis Syura Ulamak Pas ini sekadar seperti kulit buku sahaja untuk memperlihatkan Pas ini konon parti Islam, tetapi sebenarnya parti retorik yang buat lain cakap lain.
“Nasihat saya kepada Hashim, hormatlah keputusan Dr. Mahathir yang memilih Putra dan sepatutnya mendoakan untuknya diberi kesihatan dan panjang umur untuk terus berjuang demi masa depan orang Melayu dan Malaysia, tidak kira apa parti yang dipilihnya.
“Raikanlah perbedaan wadah yang matlamatnya sama, baharulah dia dilihat seorang ulamak yang waras, berilmu dan berjiwa besar, bukan ‘ularsemak’. Apapun, saya doakan agar minda Hashim ini sentiasa proaktif, berbaik sangka dan berhati bersih,” katanya.
Katanya, ulamak yang hati bersih, tidak kejar harta dan jawatan tidak perlu masuk Pas, tetapi boleh berjuang secara bebas kerana politik dan Islam tidak boleh dipisahkan.
“Mengunakan parti atas nama Islam menyebabkan agama dicemari kerana tindak tanduk atas nama parti dianggap sebagai ajaran Islam, walaupun tindakan itu tidak semestinya betul di sisi Islam,” katanya.
Bekas pemimpin pelajar itu turut menceritakan pengalamannya bertemu pemimpin Revolusi Islam Iran, Imam Ayatullah Ruhullah Khomeini hujung tahun 1978 di rumah suaka politiknya di Perancis yang merupakan markas revolusi almarhum.
“Waktu saya menemu bual, beliau berkata, apabila Revolusi Iran berjaya, beliau akan pulang ke Qom Iran dan menumpukan kepada gerakan dakwah, tapi terus bersuara termasuk politik demi Islam dan masa depan ummah.
“Apabila revolusi Islam berjaya, beliau menolak desakan untuk dilantik sebagai Presiden Iran. Begitulah mulianya jiwa Imam Khomeini.
“Saya satu-satunya rakyat Malaysia yang ketika itu berumur 27 tahun ditentukan dengan izin Allah dapat bertemu dengan pemimpin Revolusi Iran yang menjatuhkan Shah Iran yang berkuasa dengan sokongan Amerika,” katanya. – MalaysiaGazette
Jangan terkejut sangat bimbang Pak Brahim akan “terlompat-lompat”…
tu sapa tu….