Pasukan JSJ IPD Kangar, IPK Perlis serta pasukan forensik di lokasi kejadian seorang wanita ditembak mati oleh suaminya seorang anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian di Kangar Perlis awal pagi tadi.Ihsan IPD Kangar

KUALA LUMPUR – Seorang Lans Koperal menembak mati isterinya dalam kejadian tragis di Kampung Bendang Baru Simpang Empat, Kangar pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tembakan itu daripada abanglebih kurang 7.15 pagi.

Pengadu dalam laporan itu mendakwa bahawa seorang wanita tempatan berusia 26 tahun telah ditembak di sebuah rumah yang terletak di Kampung Bendang Baru Simpang Empat berhampiran Kilang Padi Beras Nasional (Bernas).

“Bertindak atas aduan itu, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, JSJ IPK Perlis dan JSJN IPK Perlis telah bergegas ke tempat kejadian itu sebelum mengesahkan berlaku insiden tersebut.

“Pihak polis telah mencuba menghubungi suspek (anggota polis) dan mangsa beberapa kali menggunakan talian telefon masing-masing serta memanggil nama mereka berdua beberapa kali tetapi tiada respons,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Yusharifuddin, pada jam lebih kurang 8.50 pagi pasukan telah membuat serbuan di rumah itu sebelum berjaya menangkap suspek berusia 27 tahun serta merampas senjata api jenis Walter P99 yang dipercayai digunakan untuk menembak mangsa.

Polis juga menjumpai mangsa, terbaring dalam keadaan berlumuran darah di atas tilam berdekatan dengan suspek di dalam bilik tidur utama mereka.

Jelasnya, pihak persenjataan polis telah dipanggil dan pemeriksaan terhadap senjata dan mendapati lima das tembakan telah dilepaskan terhadap mangsa.

Pemeriksaan ke atas badan simati juga menemui kesan kecederaan di bahagian bawah mata kiri dipercayai kesan tembakan suspek.

“Siasatan lanjut mendapati rumah banglo empat bilik itu didiami suspek bersama isteri, bapa mertua dan ibu mertua.

“Semasa kejadian terdapat tujuh orang dalam premis tersebut,” ujarnya.

Pasangan itu sudah berumah tangga lebih kurang dua tahun dan belum mempunyai anak.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tembak itu

“Suspek yang berkhidmat di IPK Perlis selama empat tahun telah ditahan polis dan semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk ditahan reman bagi membantu siasatan lanjut polis dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – MalaysiaGazette