Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media selepas Program Mini Townhall Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 MAC 2023.N

PUTRAJAYA – Tan Sri Noh Omar yang dipecat pada Januari lalu disebabkan pelanggaran disiplin mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memuji kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengemudi parti tersebut.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Tan Sri Noh Omar menyifatkan Mahathir seorang pemimpin berprinsip tinggi apabila UMNO bebas daripada individu yang terpalit daripada kes mahkamah.

Noh berkata, ketika itu mana-mana pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah akan terus digantung sehingga kes mahkamah selesai dibicarakan tanpa mengira siapa individu itu.

“Saya lihat zaman Tun Mahathir jadi presiden parti, mana-mana pemimpin parti bila kena dakwa automatik gantung tak kiralah (Datuk Seri) Khir Toyo ke, (Tan Sri) Rahim Tamby Chik ke automatik gantung tapi hari ni dah terbalik.

“(Kini) Yang ada kes terus dapat jawatan, terus menang tak bertanding.

“Sebab itu dulu pegawai kerajaan bagi saya dia hormati UMNO, sebab dia tengok walaupun dalam Perlembagaan UMNO tak sebut mana-mana pemimpin yang didakwa mesti digantung tapi kita punya amalan.

“Sebab pegawai sudah nampak bagus UMNO ini walaupun tiada undang-undang, mana-mana pemimpin berhadapan tindakan jenayah digantung kerana apa pegawai-pegawai kerajaan pun tatatertib sama mana-mana pegawai kerajaan didakwa di mahkamah maka dia digantung, ditahan kerja.

“Tapi kita hari ini dah terbalik. Bagi saya bagaimana pegawai kerajaan nak hormat pemimpin UMNO, mereka akan cakap aku pegawai kerajaan kena dakwa, aku kena tahan kerja ini pemimpin UMNO sedang bicara terus jadi TPM (timbalan perdana menteri). Jadi UMNO dah hilang dia punya perjuangan,” katanya pada sidang media selepas Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang Bersama Tun M di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri Kabinet, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin.

Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menambah, bagaimanapun UMNO kini sudah ‘terbalik’ apabila pemimpin yang memiliki kes mahkamah bukan sahaja kekal sebagai presiden, tetapi dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Noh menambah, ketika UMNO di bawah kepimpinan Mahathir, mana-mana individu yang hendak dipecat akan dibincang dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat.

“Zaman Tun Mahathir kalau nak pecat orang, MKT akan bawa kes dalam mesyuarat dibincang dan dibahas.

“Macam kes Lokman Adam, kes Lokman Adam sebelum dia dipecat dibahas, undi majoriti siapa setuju dipecat, siapa setuju tak dipecat, itu barulah ada nak kata demokrasi. Rule of law kita kena ikut.

“Proses sekarang dah berbeza, (presiden) masuk-masuk (mesyuarat MKT sebut) saya nak umum Khairy Jamaluddin dipecat, Noh digantung siapa pun tanya macam mana boleh buat keputusan. Ini ialah (keputusan) setelah dia dapat nasihat daripada Lembaga Disiplin. Saya kata saya kena dipanggil Lembaga Disiplin pada hari Isnin depan, hari ini sudah jatuh hukum ni.

“Mahkamah belum bersidang macam mana boleh jatuh hukum. Dia buat UMNO dah macam suka hati dia nak buat,

“Ini sampai nak bertanding, siapa yang tengok lawan dengan dia (Zahid) digantung, Tak bolehlah bertanding. Sebab itu bila UMNO dah hilang perjuangan, jadi kalau dulu UMNO jadi parti dominan jadi tempat orang Melayu bergantung membuat dasar-dasar membela dari anak orang miskin boleh jadi professional itu memang dasar UMNO tak boleh dinafikan.

“Tetapi hari ni dalam UMNO dah hilang perjuangannya bagaimana nak meminpin negara. Kalau nak memimpin negara dulu kita dominan, sekarang melukut di tepi gantang. Kita dah jadi third division,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Udah2 lah noh.. move on.. hang join je parti ikut idola kau tu.. mn la tau bintang yg dh kelabu asap tu bersinar semula. Sejak teraju selangor bertahun2 makin kelam bekas parti kau. Kalu kau bertanding pru15 kat tempat hang masa pru15 pun dulu memang tewas juga sbb gelombang tolak bekas parti kau dulu memang kuat. Tak yah nk sembang lah.

Comments are closed.