Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Pas bersedia menjadi orang tengah untuk menjayakan hasrat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin selepas mendapat tahu Pejuang bersama satu lagi parti dalam gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) hendak bersama PN.

“Kita sedia buka pintu rundingan kepada Pejuang sekiranya mahu menjadi salah satu komponen dalam PN.

“Sebelum itu, kita mahu dengar syarat mereka, manalah tahu mereka nak minta bertanding di negeri yang Pas perintah iaitu Terengganu.

“Ini yang kita nak dengar dulu,” katanya.

Khamis lalu, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam kenyataannya dilaporkan berkata, partinya telah menghantar surat permohonan menyertai PN kepada Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, salinan surat itu juga turut dihantar kepada Timbalan Pengerusi yang juga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Menurut Mukhriz, keputusan itu tidak dibuat berseorangan, sebaliknya mendapat persetujuan Majlis Eksekutif Pusat (MEP) Pejuang dalam mesyuaratnya Selasa lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan balasnya berkata, pihaknya akan membuat keputusan dalam masa terdekat berhubung permohonan itu.

“Sebenarnya ada dua permohonan hendak sertai PN iaitu Pejuang dan Berjasa, namun tarikh mesyuarat belum diketahui bagi memutuskan keputusan mana-mana parti yang memohon menyertai PN,” katanya. – MalaysiaGazette