LABUAN – Seorang pekerja kontrak berusia 27 tahun sedang melakukan kerja-kerja menyelenggara dan membaik pulih sebuah jeti di sini, mati lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam laut di pinggir bandar ini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Riham Abdollah, berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa dari sebuah syarikat kontraktor kecil ditugaskan melaksanakan kerja di jeti kendalian Shell Timur Sdn Bhd apabila dipercayai terjatuh ke dalam laut.
Katanya, pasukan penyelam bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian, menemukan mayat mangsa di kedalaman 16 meter.
Mangsa di kenali sebagai Zamri Lamuseng dari Putatan, Penampang, Sabah.
Sementara itu, Ketua Polis Labuan, Supt Ahmad Jawilla, berkata mangsa bersama empat pekerja lain sedang melakukan pemasangan perancah.
“Mereka tiba di jeti pada jam 6 pagi untuk melakukan pemasangan, tetapi kira-kira jam 11 pagi, mereka mendapati Zamri tidak berada di jeti dan melihat topi keselamatannya terapung berhampiran jeti dan mereka segera membunyikan siren kecemasan,” katanya.
Ahmad menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya memaklumkan kepada balai polis Labuan untuk membantu siasatan. – BERNAMA