Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2023.

SEGAMAT – Semua projek projek tebatan banjir bernilai lebih RM600 juta yang ditangguhkan sebelum ini termasuk di Johor diarah memulakan operasi mulai Jun ini untuk mengatasi masalah banjir di seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu jika tidak segera dilaksanakan akan mengakibatkan isu banjir akan terus berulang selama bertahun-tahun.

“Oleh itu, kita kita putuskan projek tebatan banjir yang mahal bernilai lebih RM600 juta lebih akan disegerakan, itu kita lulus dan segerakan.

“Itu hari saya tangguh sebentar kerana kita tak mahu peruntukan untuk bantu rakyat ini ada ketirisan, ada kecurian jadi kita perlu proses tender….semua projek yang telah diluluskan termasuk di Johor itu harus semuanya beroperasi mulai Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaaan Cina SJK(C) Kampung Tengah, di sini pagi ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut memberi amaran kepada pihak terlibat agar tidak menggunakan peluang itu untuk mendapat kepentingan sendiri.

Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gemereh, Segamat, Johor. Foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2023.

“Dulu kita tangguhkan (tebatan banjir) kerana ada masalah dan saya bagi amaran keras, jangan guna peruntukan semasa banjir ini sebagai peluang untuk dapat dapat habuan tambahan,” tegasnya.

Selain itu, Anwar berkata beberapa projek tebatan banjir baharu di Johor termasuk Segamat dan Kota Tinggi juga akan diberikan peruntukan daripada penjimatan projek sebelum ini.

“Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) ada bangkitkan beberapa projek baharu (dan) saya beritahu oleh kerana kita boleh jimatkan beberapa kos RM1 bilion, RM2 bilion (daripada) projek lama, wang itu akan dipindahkan untuk menyediakan priojek baharu.

“Setakat ini, ianya di Segamat, Kota Tinggi dan kawasan-kawasan yang berat (buruk) dilanda banjir,” katanya. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast