Nadia Azmi menggunakan mesin layan diri makanan selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di LRT Cempaka, Ampang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 26 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli meminta rakyat menilai sendiri laporan media kononnya mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bermasalah.

Rafizi mendakwa, media yang membuat laporan tersebut terdiri daripada portal berita yang menyokong kumpulan bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu.

“Ada portal lapor mesin vending ni bermasalah – terburai, tak boleh bayar dan lain-lain lagi.

“Boleh nilai sendiri: portal itu selalunya suara pro geng ex-PKR yang join Bersatu.

“Dari (laporan) video, tak ada masalah jualan harian ke arah untung bersih RM2.5 ribu sebulan,” ciap Rafizi di Twitter.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, tidak sampai seminggu dilaksanakan, banyak masalah dihadapi IPR seperti pembungkusan yang teruk, mudah tersangkut dalam mesin dan isu sistem pembayaran.

Menurut portal berkenaan, cadangan Rafizi menjual nasi lemak ‘vending machine’ dipersoal pembeli dan penjual makanan berikutan masalah tersebut.

Rafizi melancarkan IPR pada 26 Februari lalu dengan peserta berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Sementara itu, menjawab soalan seorang pengguna di Twitter, Razifi berkata, setakat ini hanya terdapat satu mesin layan diri disewa bagi program IPR.

Bagaimanapun menurut beliau pemilihan syarikat mesin layan diri untuk menyertai program itu akan dilakukan secara tender terbuka.

“Tak ada kontrak, setakat ini sewa satu mesin dan risiko semua ditanggung syarikat penyedia.

“Selepas ini syarikat-syarikat mesin vending akan dipanggil untuk tender terbuka. Risiko kepada syarikat vending. Bila sewaan, aset itu aset dia dan berhadapan risiko kerosakan,” jelas beliau.

Pelancaran IPR bertujuan meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar, miskin dan B40 untuk menjana pendapatan membabitkan kerjasama kerajaan, rakyat dan rakan strategik.

IPR membabitkan tiga model iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

Penjualan makanan melalui mesin layan diri itu serendah RM2 kerana bertujuan membantu orang ramai dan menurunkan harga makanan.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.