Dr Mohamad Khir Toyo
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo

KUALA LUMPUR – Prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya di Parlimen Sungai Besar antara faktor penyebab Dr Mohamad Khir Toyo mahu kembali ke gelanggang politik dalam pemilihan parti kali ini.

Dr Khir melihat ketidakupayaan penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md Yunos merampas Parlimen Sungai Besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak dua penggal lalu perlu dihukum dalam Pemilihan UMNO 2023 kali ini.

Peningkatan kekalahan BN Sungai Besar dari 714 undi pada PRU14 kepada 5,843 undi (PRU15) dilihat sesuai yang serius dan Dr Khir sedia menawarkan diri untuk memulihkan parti dari akar umbi hingga ke pimpinan tertinggi.

“Saya sebenarnya di Sungai Besar, saya nak balik bertanding ini selepas saya lihat kekalahan yang amat teruk pada PRU15 baru-baru ini.

“Saya menangis malam itu, saya terfikir sejak menjadi ketua bahagian 10 tahun yang lepas, prestasi (BN) sangat buruk.

“Saya perlu kembali untuk memperbaiki UMNO, memastikan UMNO menang balik di Sungai Panjang dan menjaga maruah UMNO.

“Kembalinya saya dalam parti di Sungai Besar ini untuk membela dan membetulkan UMNO supaya dipandang mulia seperti mana dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum ini, Dr Khir selaku bekas Menteri Besar Selangor menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada pemilihan parti kali ini.

Selepas tarikh menghantar borang pencalonan ditutup pada 26 Februari lalu, perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar sah menyaksikan pertandingan dua penjuru antara penyandangnya, Jamal dan Dr Khir.

Ketika mengimbas kembali kekalahan BN di Parlimen Sungai Besar sejak 2018, Dr Khir mendedahkan antara puncanya termasuk pertelagahan antara calon BN dan pengarah pilihan raya sendiri.

“Pada PRU14, dia (Jamal) jadi pengarah pilihan raya, Datuk Dr Budiman Moh Zohdi jadi calon, ada pertelagahan antara calon dan pengarah pilihan raya, beliau (Jamal) buat poster besar-besar, sedangkan ahli tidak dijaga.

“Akhirnya Budiman kalah 714 undi ketika itu (PRU14) dengan Muslimin Yahaya, orang yang sama (PRU15).

“Tetapi baru-baru ini Datuk Jamal, dia sendiri pengarah pilihan raya, dia juga calon pilihan raya, dia kalah dengan Muslimin hampir 6,000 undi,” katanya.

Tambahnya, pemulihan parti perlu dilakukan segera sebelum BN menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Jun tahun ini

“Jadi masalahnya, prestasi makin menurun dan kita akan menghadapi PRN di Sungai Panjang yang kita tahu kubu kuat UMNO.

“Bayangkanlah kalau kita kalah di Sungai Panjang, tapi DAP menang di Sekinchan dalam satu parti (Kerajaan Perpaduan) apa pandangan orang kepada UMNO.

“Kalau kita biarkan, saya tak nampak UMNO akan menang dalam PRN dengan diketuai Datuk Jamal kerana kita lihat 10 tahun yang lepas, hasilnya UMNO hari ini, UMNO kalah teruk,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast