KUALA LUMPUR – UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal parti iaitu memberi perhatian yang cukup dalam soal ekonomi orang Melayu.
Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zaid Ibrahim berkata, ini sesuai dengan masalah ekonomi yang sedang dihadapi orang Melayu.
“Isu ekonomi Melayu harus menjadi perbincangan utama dalam politik Malaysia. Ahli pimpinan tertinggi UMNO yang akan dipilih nanti mesti memberi tumpuan penuh kepada isu ini.
“Tak usahkan perbesarkan isu-isu remeh seperti filem, parti cauvinis dan sebagainya yang tiada kaitan langsung dengan orang Melayu.
“Bincang dan bawalah isu yang memberi manfaat kepada bangsa kita. Mereka mengharapkan kita untuk memperjuangkan nasib mereka,” katanya dalam rakaman video menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Menurut bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu itu, beliau akan mengedarkan bahan kempen yang mengandungi pemikiran dan pandangannya mengenai visi dan misi sekiranya menang dalam pertandingan MKT nanti.
Kata Zaid, beliau telah membuat beberapa kupasan penting mengenai hala tuju dan masa depan UMNO dalam mendapatkan semula sokongan rakyat untuk kembali menjadi parti yang kuat sebagaimana sebelum ini.
“Sudah tentu setiap daripada kita mahukan UMNO lebih kuat dan bangkit kembali dengan lebih kuat, bukan selesa dengan26 kerusi yang dimenangi pada PRU15 yang lalu.
“Kita ingin UMNO maju ke hadapan, bukan sahaja menjadi rakan dalam kerajaan, tapi kita mahu lebih daripada itu, meraikan kembali sokongan rakyat supaya UMNO menjadi parti yang kuat untuk memerintah negara suatu hari nanti,” katanya. – MalaysiaGazette